LZS PERJELAS ISU VIRAL PANGSAPURI SERI PURNAMA, SUBANG BESTARI

0
572

Shah Alam, 21 April 2015 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) terhadap isu viral FB dan whatsapp berkaitan asnaf di penempatan Pangsapuri Seri Purnama, Subang Bestari.

Untuk makluman, kes ini merupakan viral dua tahun lepas. Penempatan asnaf di Pangsapuri Seri Purnama adalah salah satu bentuk bantuan yang disediakan bagi membantu asnaf fakir dan miskin yang tidak berumah. Asnaf fakir dan miskin yang menerima bantuan tersebut, layak tinggal di penempatan itu selagi mana mereka masih asnaf fakir dan miskin dan pendapatan di bawah haddul kifayah (garisan kecukupan minimun bagi keperluan asasi).

Bagaimanapun, LZS akan menjalankan semakan dari tahun ke tahun untuk melihat kelayakan mereka yang tinggal di sana berdasarkan haddul kifayah dan syarat kelayakan lain.

Berkaitan dengan viral tentang perpindahan keluar dari penempatan Pangsapuri Seri Purnama, LZS tidak pernah mengarahkan asnaf untuk keluar daripada mana-mana penempatan. Namun, seramai enam buah keluarga akan berpindah daripada penempatan tersebut, berikutan telah keluar daripada kategori asnaf fakir dan miskin dan pendapatan melepasi haddul kifayah.

Selain menerima bantuan penempatan, para asnaf di situ turut menerima bantuan lain seperti bantuan makanan dan kewangan bulanan, bantuan pendidikan dan bantuan hari raya di samping bantuan-bantuan lain bergantung kepada keperluan asnaf tersebut.