DENGKIL, 3 Jun 2015 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus menjejaki individu dan keluarga yang memerlukan melalui program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) yang diadakan di sekitar Taman Putra Perdana bagi mukim Dengkil di sini hari ini.
Operasi kali ini melibatkan 500 buah keluarga di mana siasatan secara terus dari rumah ke rumah dijalankan bagi menentukan haddul kifayah (garis penentuan kemiskinan) mereka. Ia turut mendapat kerjasama 15 orang pemimpin setempat dan penolong amil kariah beserta 20 tenaga kerja LZS.
Menurut Pengurus Daerah Sepang, Mohd Nur Fadhli Yohman, “Program SJK pada hari ini merupakan siri ketiga yang dilaksanakan di daerah Sepang pada tahun 2015. Matlamat kami adalah menjejaki mereka yang layak memohon zakat, namun tidak berdaftar dengan LZS. Keluarga yang layak didaftarkan sebagai asnaf, akan menerima bantuan zakat seperti bantuan Hari Raya dan bantuan persekolahan. Manakala bantuan zakat yang lain akan disalurkan bergantung kepada keperluan sesebuah keluarga.”
Tambahnya lagi, operasi ini bukan sekadar mencari asnaf fakir dan miskin semata-mata, namun turut menjejaki asnaf lain terutamanya mereka yang ditimpa masalah kesihatan yang memerlukan bantuan.
Untuk makluman, pada tahun 2014 sebanyak 830 buah keluarga berjaya ditemui melalui program SJK. Daripada jumlah tersebut, 67 buah keluarga merupakan asnaf fakir dan miskin daerah Sepang.