SHAH ALAM, 21 September 2015 – Berikut merupakan maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan muat naik status facebook ‘Malay Family Left Homeless’ baru-baru ini.
Untuk makluman, kisah keluarga yang tinggal di medan selera sebelum ditempatkan di sebuah surau sejak seminggu lalu telah mendapat perhatian LZS. Suhaila Md Sahi, 32 tahun ibu kepada lima orang anak yang berusia antara dua hingga 10 tahun terpaksa bergantung dengan ehsan orang ramai bagi meneruskan kehidupan.
Sebelum ini, Suhaila dan anak-anak telah ditanggung oleh bekas suami, Muhammad Reduan Abdullah, 36 tahun. Namun baru-baru ini, bekas suaminya telah diberhentikan kerja menyebabkan mereka kehilangan punca pendapatan dan terpaksa tinggal di surau tersebut.
Sehubungan dengan itu, LZS telah tampil menyantuni keluarga ini dengan bantuan kecemasan sebanyak RM500. Selain itu, keluarga Suhaila dalam proses pengesahan sebagai asnaf fakir dan miskin di Selangor. LZS juga akan menyalurkan bantuan deposit dan sewa rumah bulanan di samping bantuan-bantuan lain bergantung kepada keperluan keluarga ini.
Semoga bantuan yang disalurkan ini dapat meringankan beban keluarga Suhaila.