SHAH ALAM, 25 Mei 2016 – Seramai 1,200 anak-anak kecil berusia di antara lima hingga enam tahun menyertai program Zakat Didik anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) bersempena program Pencetus Huffaz Cilik (LZS) yang diadakan bertempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Program ini adalah sebagai pendedahan awal kepada generasi masa kini iaitu generasi Z tentang zakat fitrah dan zakat harta sebagai rukun Islam yang wajib diamalkan. Ia secara tidak langsung menyemai dan mendidik budaya zakat dalam diri setiap anak kecil ini sejak usia muda.
Pelbagai aktiviti dilaksanakan bagi memberi pendedahan awal kepada anak-anak ini seperti simulasi pembayaran zakat, warkah buat ayah bonda, ikrar Islami, pop kuiz zakat dan sebagainya. Semoga anak-anak ini nanti bakal menjadi pengeluar zakat di Selangor dan dapat membantu lebih ramai asnaf.