SHAH ALAM, 19 Ogos 2016 – Berikut merupakan maklum balas Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) berkenaan berita yang tersiar di Harian Metro pada 19 Ogos 2015 bertajuk ‘Rengekan Adik Mengadu Lapar’.
Azlina Zainal Abidin merupakan seorang ibu tunggal yang mempunyai dua orang anak berusia 16 dan 14 tahun. Untuk makluman, keluarga Azlina Zainal Abidin merupakan asnaf fakir daerah Klang yang telah disantuni dengan bantuan zakat sejak tahun 2009.
Selain menerima bantuan kewangan bulanan dari Zakat Selangor sebanyak RM250 yang seperti yang dilaporkan dalam berita berkenaan, Azlina turut menerima bantuan makanan bulanan. Di samping itu, Zakat Selangor turut menyalurkan bantuan pendidikan, bantuan Hari Raya sebanyak RM700 dan bantuan sewa rumah sebanyak RM500. Semoga bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban keluarga ini.