LZS AGIHKAN DAGING KORBAN KEPADA 200 ASNAF FAKIR DAN MISKIN DI KLANG

0
472

KLANG, 4 September 2017 – Sebanyak tujuh ekor lembu dikorbankan dalam Program Korban Perdana 2017 & Journey To Jannah Bersama Pembayar Zakat sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Kompleks Anak-Anak Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang dikenali Bait Al-Hasanah di sini hari ini.

Ia merupakan sumbangan Persatuan Kakitangan Islam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Klang, Triplc Berhad dan LZS yang akan diagihkan kepada 200 orang asnaf fakir dan miskin. Setiap asnaf akan menerima sebanyak dua kilogram bungkusan daging korban.

Selain sebagai tuntutan ibadah dan meraikan golongan kurang berkemampuan, program ini diadakan bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara LZS dengan pembayar zakat melalui aktiviti kemasyarakatan terutama melibatkan penerima zakat di Selangor.

Program ini mendapat kerjasama dari warga kerja LHDN yang bergotong-royong menyembelih, melapah dan memasak daging korban tersebut.

Dalam program yang sama, LZS beserta pembayar zakat turut menziarahi rumah asnaf fakir dan miskin di sekitar Klang bagi berkongsi pengalaman agihan zakat di Selangor. Selain melihat realiti kehidupan asnaf, sumbangan daging korban turut diserahkan dalam aktiviti ziarah itu. 

Program kali ini juga turut diserikan dengan pengislaman empat penduduk Orang Asli yang akan melafazkan dua kalimah syahadah. Setiap saudara baru ini menerima sumbangan wang tunai dan peralatan ibadah dari Triplc Berhad.

Dalam perkembangan yang sama, Simply Packaging Sdn. Bhd. menyerahkan zakat perniagaannya bagi tahun kewangan berakhir 2016 berjumlah RM62,000.00. Manakala, Sime Darby Property Berhad telah menyatakan persetujuan menyertai program ‘Kasihku Zakat Selangor’ melibatkan jumlah agihan semula sebanyak RM335,696.00.

Untuk makluman, ‘Kasihku Zakat Selangor’ merupakan inisiatif diperkenalkan bagi membolehkan syarikat berkaitan memohon agihan semula 3/8 atau 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat yang dikeluarkan pada tahun semasa untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan Zakat Selangor termasuk asnaf fisabilillah.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Pengarah Cawangan LHDN Klang, Sazali Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Triplc Berhad, Dato’ Yusof Badawi. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.