SHAH ALAM, 11 Februari 2018 – Lembaga Zakat Selangor menyertai program amal #ECOFreemarket bersempena Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam bertempat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini.
Apa yang menarik program #ECOFreemarket menggalakkan para pengunjung yang hadir menyumbangkan barangan sama ada yang masih baru ataupun terpakai, untuk diberikan secara percuma kepada mereka yang hadir dan memerlukan.
Ia merupakan satu pendekatan untuk membuat kebajikan yang unik, sekali gus menjadi platform kepada masyarakat untuk berkongsi, di samping membentuk nilai-nilai murni dalam kehidupan.
Program ini turut disertai oleh hampir 100 penyumbang terdiri daripada agensi swasta, NGO dan orang perseorangan, telah menarik perhatian 500 orang pengunjung terdiri daripada masyarakat setempat.
Ia diserikan dengan kehadiran pelajar asnaf fakir dan miskin dari Bait Al-Hasanah yang menjadi antara penerima barangan dalam program tersebut.