SHAH ALAM, 28 Mac 2018 – Seramai 150 wakil daripada pelbagai syarikat korporat yang menunaikan zakat di Lembaga Zakat Selangor (LZS) hadir dalam Bengkel Bicara Wakalah Agihan Zakat bertempat di Hotel Grand Bluewave di sini hari ini.
Bengkel ini bertujuan memberi penerangan kepada pengeluar zakat korporat, individu dan majikan mengenai Wakalah Agihan Zakat yang diperkenalkan bagi memberi peluang kepada pengeluar zakat untuk mendapatkan pengembalian semula agihan zakat bagi diagihkan kepada asnaf yang layak.
Melalui Wakalah Agihan Zakat, pengeluar zakat dilantik sebagai wakil bagi pihak LZS untuk mengagihkan sendiri zakat dengan pemantauan LZS berdasarkan kepada prinsip agihan zakat.
Antara asnaf yang layak menerima manfaat agihan ini termasuklah asnaf fakir, miskin, muallaf, fisabilillah dan gharimin (perubatan).
Hadir sama, Ahli Jawatankuasa Operasi Kutipan Zakat LZS, Dato’ Syed Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa dan Ketua Divisyen Kutipan, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.