KARNIVAL KERJAYA: PELUANG ASNAF FAKIR, MISKIN DAN MUALAF MELANJUTKAN PENGAJIAN

0
451
 
KUALA LANGAT, 12 Mei 2018 – Seramai 1,000 orang pelajar lepasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kalangan asnaf fakir, miskin dan mualaf menyertai Karnival Pendidikan & Kerjaya anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang diadakan bertempat di Universiti MAHSA di sini hari ini. 
Karnival yang mendapat kerjasama Universiti Mahsa ini mensasarkan pelajar asnaf lepasan SPM yang mendapat keputusan kurang memberangsangkan antara tiga kredit dan ke bawah serta tidak dapat melanjutkan pengajian ke mana-mana IPTA.
 
Melalui karnival ini, ia memberi pendedahan kepada para pelajar asnaf tentang peluang-peluang menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan institut kemahiran awam dan swasta (ILKA/S) yang menjadi panel LZS. Ia menawarkan pelbagai jenis kursus berasaskan kemahiran dan industri yang sesuai dengan minat dan keputusan peperiksaan yang diperoleh. 
 
Sebanyak 40  buah IPTS dan ILKA/S menyertai karnival ini, di mana para pelajar asnaf lepasan SPM dapat berinteraksi dan berpeluang mendalami bidang pengajian yang bersesuaian dengan minat. Apa yang menarik, LZS akan mengeluarkan terus surat tawaran bantuan biasiswa kepada para pelajar yang membuat pilihan melanjutkan pelajaran di IPTS dan ILKA/S terlibat pada hari ini. 
 
Dalam masa yang sama, seramai sembilan orang pelajar asnaf menerima bantuan Dermasiswa LZS untuk menyambung pengajian di pelbagai IPT. Setiap pelajar menerima bantuan di antara RM22,000 sehingga RM53,000 bergantung kepada tawaran pengajian mereka. Ini menjadikan bantuan keseluruhan Dermasiswa LZS berjumlah RM280,913. Bantuan dermasiswa tersebut disampaikan oleh Pro-Canselor merangkap Pengerusi Eksekutif Universiti MAHSA, Profesor Tan Sri Datuk Dr. Mohamed Haniffa Abdullah sewaktu Majlis Serahan Bantuan Ramadan & Raya Perdana 2018 serta Penutup Karnival Pendidikan & Kerjaya LZS. 
 
Salah seorang penerima yang ditemubual Siti Nur Aisyah binti Masren, 18 tahun, “ Saya sangat bersyukur dengan bantuan zakat yang diterima, Bantuan ini akan meringankan beban kewangan sewaktu pengajian saya nanti. Saya berharap bantuan ini dapat merealisasikan cita-cita dan saya tidak akan sia-siakan peluang yang diberikan ini” katanya yang menerima bantuan dermasiswa berjumlah RM22,620 untuk menyambung pengajian di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). 
 
Turut hadir, Timbalan Pengerusi LZS, Dato’ Dr. Aizuddin Ahmad dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Profesor Emeritus Dr. Muhamad Awang. Hadir sama, Ketua Pegawai Penyelaras LZS (Officer In Charge), Abdul Basith Hamid.