KUALA LANGAT, 12 Mei 2018 – Asnaf di Lembaga Zakat Selangor bakal mendapat manfaat daripada wang zakat Worldwide Holdings Berhad dan SIRIM Berhad yang diterima melalui sumbangan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ di sini hari ini bersempena Majlis Serahan Bantuan Ramadan & Raya Perdana 2018 serta Penutup Karnival Pendidikan & Kerjaya LZS
Replika cek ‘Kasihku Zakat Selangor’ disampaikan oleh Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Worldwide Holding Berhad, Ami Nardin Ishak berjumlah RM127,597.96 dan Head of Engagement & Industrial Relations, Group Human Resources, Rajiah Mohamed Taib yang mewakili SIRIM Berhad berjumlah RM10,000 kepada Ketua Pegawai Penyelaras LZS (Officer In Charge), Abdul Basith Hamid.
Program ‘Kasihku Zakat Selangor’ ini merupakan inisiatif LZS yang diperkenalkan bagi meraikan pengeluar zakat terutama syarikat korporat mengagihkan semula 3/8 daripada jumlah zakat yang dikeluarkan untuk disampaikan kepada asnaf fakir, miskin, fisabilillah, muallaf dan gharimin sedia ada di Selangor. Program ini juga memberi ruang kepada syarikat korporat menjalankan tanggungjawab korporat mereka bersama LZS dalam usaha menyantuni asnaf-asnaf secara langsung.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Timbalan Pengerusi LZS, Dato’ Dr. Aizuddin Ahmad dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Profesor Emeritus Dr. Muhamad Awang. Hadir sama, Ketua Pegawai Penyelaras LZS (Officer In Charge), Abdul Basith Hamid.