SHAH ALAM, 28 Mei 2018 – Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan dan kerahmatan. Bulan di mana masyarakat berlumba-lumba melakukan kebaikan. Selain ibadat puasa, Ramadan juga akan mengingatkan kita untuk melaksanakan satu lagi ibadat wajib iaitu mengeluarkan zakat fitrah.
Biarpun kadar zakat fitrah di Negeri Selangor bagi tahun 2018/1439H telah diumumkan kekal seperti tahun sebelumnya iaitu RM7, namun masyarakat Islam di Selangor amat digalakkan untuk mengeluarkan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan.
Menurut Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah menetapkan kadar minima untuk zakat fitrah bagi tahun 2018, namun perbuatan mengeluarkan zakat fitrah mengikut beras yang dimakan adalah bertepatan dengan kehendak hadis.
“Dalil ini disebut di dalam hadis yang diriwayat oleh Imam Bukhari, Abu Said al-Khudri seorang sahabat nabi telah berkata bahawa mereka mengeluarkan zakat fitrah sebanyak satu sha’ makanan, mengikut apa yang mereka makan.”
Tambah beliau, “Secara logiknya, pastilah tidak sama orang yang memakan beras mahal dengan beras murah. Maka, bagi mereka yang mempunyai kekayaan dan mampu memakan beras mahal, amatlah wajar bagi mereka menunaikan zakat fitrah mengikut beras mahal yang mereka makan.”
Bagi menjelaskan lagi berkaitan perkara ini, Dato’ Setia Tamyes memberi contoh, “Misalnya, jika Encik Abu memakan beras Gred Super yang berharga RM8 sekilogram, maka 2.6kg x RM8 bersamaan RM20.80. Oleh itu, Encik Abu hendaklah memaklumkan kepada amil zakat fitrah, jumlah yang hendak ditunaikan. Pihak amil akan memberi kupon dalam jumlah gandaan yang sesuai. Misalnya, jika RM20.80 akan dibundarkan menjadi RM21. Oleh itu, jumlah kupon fitrah yang akan dikeluarkan ialah tiga keping, bersamaan RM21. Sekiranya Encik Abu mempunyai tiga ahli keluarga, maka jumlah bayarannya ialah RM21 x 3 orang bersamaan RM63 dan jumlah kupon fitrah mestilah menyamai RM63 iaitu sembilan keping.”
Bagaimanapun, Dato’ Setia Mohd Tamyes berkata, menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang biasa dimakan ini bukanlah perkara baru. Hal ini kerana sebelum ini ia telah dibuat oleh pengeluar zakat yang berkemampuan. Malah, institusi zakat juga mengalu-alukan dan meraikan pengeluar zakat yang ingin berbuat demikian.
“Kewajipan zakat fitrah adalah pelengkap kepada ibadah puasa Ramadan. Memberikan harta dalam bentuk zakat memerlukan kekuatan iman. Andai kata kita menjadi pemurah dan mampu memberikan lebih banyak, misalnya mengeluarkan zakat fitrah lebih daripada RM7 mengikut beras yang kita makan, itu menjadi tanda penyakit bakhil telah berjaya kita kikis. Namun sekiranya masih berkira-kira, itu bermakna kita masih dikuasai nafsu.”
Sehubungan itu, bagi membantu masyarakat Islam untuk mengeluarkan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan ini, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah melantik seramai 2,760 penolong amil fitrah untuk membantu. Malah, cawangan LZS juga dibuka 7 hari seminggu sepanjang bulan Ramadan ini bagi memudahkan masyarakat menunaikan zakat fitrah dan harta.
Kata Mohd Tamyes lagi, “Saya juga menyeru, ambillah kesempatan menunaikan zakat fitrah lebih awal, setidak-tidaknya di malam Hari Raya agar kita tidak terlupa. Malah, tidak salah jika kita turut menunaikan zakat harta di bulan Ramadan yang mulia ini. Pahalanya berganda, berkatnya melimpah, Amin.”