LZS PERKENAL MOBILE APPS MUDAHKAN PENOLONG AMIL FITRAH

0
1303

SHAH ALAM, 5 Jun 2018 – Seiring dengan era teknologi digital, Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengorak selangkah ke hadapan, apabila memperkenalkan inovasi penggunaan mobile apps bagi memudahkan penolong amil fitrah (PAF) membuat kutipan zakat fitrah di Selangor.

Projek perintis yang diperkenalkan sepanjang bulan Ramadan ini, melibatkan 200 orang PAF terpilih di Selangor. Melalui mobile apps ini, PAF tidak lagi menggunakan kupon fitrah sebagai bukti bayaran zakat, sebaliknya menggunakan mobile apps bagi mengeluarkan resit bayaran zakat di lapangan.

Untuk itu, setiap PAF yang terlibat diberi kemudahan kad pintar, pencetak dan data internet sebanyak RM50. Para pengeluar zakat hanya perlu memberi kad pengenalan bagi imbasan maklumat untuk tujuan simpanan di LZS dan pihak PAF akan mencetak resit sebaik sahaja bayaran zakat fitrah dibuat.

Bagi Hasanudin Nasron, 36 tahun salah seorang PAF yang dilantik LZS bagi mengutip zakat fitrah di pasar raya memberitahu, inovasi yang diperkenalkan ini amat memudahkan PAF yang bertugas.

“Aplikasi yang digunakan ini disokong dengan pautan ke sistem LZS. Malah ciri-ciri keselamatan terjamin. Setiap maklumat peribadi pengeluar zakat direkod dengan lebih efisyen dan mudah ke dalam sistem LZS. Bukit bayaran melalui resit yang dikeluarkan serta-merta juga, meningkatkan tahap kepercayaan pengeluar zakat dengan LZS,“ katanya.

34162916_10156266661396221_385829187216211968_n

Tambahnya lagi, “Pengenalan mobile apps ini ternyata mengurangkan risiko kehilangan kupon fitrah kerana kupon berbentuk fizikal yang perlu dibawa ke mana sahaja. Malah ia lebih mudah kerana saya tidak perlu lagi ke LZS untuk sebarang penambahan kupon fitrah sekiranya ia telah habis.  Ini berdasarkan pengalaman saya sebelum ini.”

Berbeza pula bagi pengeluar zakat Norashikin Mohamad, 42 tahun yang berasa sangat teruja dengan pengenalan aplikasi mobile apps ini.

“Saya berasa teruja apabila pertama kali menerima resit bayaran sewaktu menunaikan zakat fitrah baru-baru ini. Selama ini saya hanya terima kupon yang dikoyakkan oleh PAF selepas bayaran zakat dibuat. Lebih menarik, maklumat berkenaan bayaran fitrah saya ini terus dimasukkan dalam rekod LZS. Mudah bagi saya untuk rebat cukai nanti kerana maklumat bayaran zakat telah ada direkodkan. Di tempat lain saya tidak pasti, namun invosi di Selangor nampak perbezaan ketara berbanding tahun sebelum ini,” katanya.

Sehubungan itu, bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah, LZS telah melantik seramai 2,760  PAF di seluruh Selangor sepanjang bulan Ramadan ini. Orang ramai juga dinasihatkan untuk menunaikan zakat fitrah hanya kepada amil dilantik oleh LZS yang dapat dikenal pasti melalui kad tauliah dan sijil lantikan sah.