PETALING JAYA, 29 September 2018 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) daerah Petaling hari ini menjejaki 100 keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang bagi mengenal pasti keluarga yang layak didaftarkan sebagai golongan asnaf dan seterusnya disantuni dengan manfaat zakat dalam program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) di sini.

Operasi rutin yang bersifat cari, siasat dan bantu ini bertujuan bagi mengenal pasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan dan akan disenaraikan sebagai asnaf fakir, miskin dan mualaf. Matlamat LZS untuk menangani kemiskinan di Selangor, iaitu kepada golongan yang layak, namun masih belum disantuni oleh LZS atas beberapa faktor.

Menurut Ketua Operasi Agihan Daerah Petaling, Mohd Nur Fadhli Yohman, berkata siasatan secara terus dari rumah ke rumah dijalankan bagi memastikan tiada keluarga yang tercicir daripada bancian yang dijalankan.

“Program SJK ini adalah bagi memudahkan para asnaf berurusan dengan LZS agar dapat memenuhi keperluan lain mereka. Selain menyantuni asnaf yang layak, LZS juga akan menawarkan bantuan kepada masyarakat yang tidak dikategorikan dalam golongan asnaf fakir dan miskin agar dapat meringankan beban mereka.”

Tambahnya lagi, keluarga yang layak didaftarkan sebagai asnaf, akan disantuni dengan bantuan zakat seperti bantuan yuran dan kelengkapan persekolahan, bantuan Ramadan dan Hari Raya serta bantuan lain bergantung kepada keperluan semasa keluarga tersebut. Selain itu, aktiviti turun padang turut menjejaki keperluan lain bagi umat Islam di kawasan sekitar melalui agihan wang zakat kepada asnaf gharimin dan fisabilillah.

“Operasi ini turut mendapat kerjasama daripada lima orang Penolong Amil Kariah (PAK) LZS. PAK ini merupakan individu yang dilantik oleh LZS bagi menjalankan tugas-tugas bancian, semakan dan menjaga kebajikan orang Islam yang layak menerima zakat dalam dikategorikan asnaf fakir, miskin dan mualaf.”

Salah seorang penghuni rumah yang dibanci, Atipah Aini Mohd Yamin, 43 berasa amat bersyukur dengan kehadiran LZS berkunjung ke rumah beliau bagi menjalankan operasi bancian ini.

“Dengan pendapatan RM700 sebagai seorang pekerja pembersihan, saya membesarkan empat orang anak yang masih bersekolah di peringkat sekolah rendah dan menengah. Tambahan pula suami saya telah meninggal dunia empat tahun. Maka saya terpaksa mengambil alih tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Sewa rumah pula telah tertunggak selama empat tahun tidak berbayar, dan bil elektrik pula menunggu masa untuk dipotong kerana masih belum dilunaskan lagi.”

“Saya amat berterima kasih kepada LZS, yang hadir membantu keluarga saya di saat sedang terbelenggu masalah bebanan kewangan untuk membesarkan anak-anak yang masih bersekolah,“ katanya lagi.

Bagi Eksekutif Operasi Agihan Daerah Petaling, Roslan Ayob yang menjalankan bancian berkata, LZS akan mengesyorkan bantuan kepada keluarga Atipah berupa bantuan kewangan bulanan, bantuan makanan bulanan dan juga bantuan tunggakan rumah.

“Hasil daripada siasatan, keluarga beliau layak didaftarkan sebagai asnaf fakir dan layak menerima bantuan zakat seperti bantuan yuran dan kelengkapan persekolahan untuk anak-anak, bantuan Ramadan dan Hari Raya serta bantuan lain bergantung kepada keperluan semasa keluarga beliau, “ katanya ketika operasi bancian dijalankan.

Sehingga Jun 2018 seramai 47,298 keluarga keluarga asnaf fakir dan miskin telah disantuni oleh LZS. Daripada jumlah tersebut, 7,312 adalah keluarga asnaf di daerah Petaling.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Badariah Abdul Jalil, Ketua Pegawai Kewangan LZS, Rapizah Muhammad Sharif dan Ketua Divisyen Komunikasi Korporat, Datin Setia Norajun Ainun Mohd Hashim.