LZS SANTUNI 356 ASNAF FAKIR & MISKIN RM5.8 JUTA

0
327
oznor

KLANG, 20 Disember 2018 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyantuni seramai 356 orang asnaf fakir dan miskin di Selangor dengan menyalurkan bantuan zakat berjumlah RM5,784,000.00 dalam satu Majlis Penyerahan Bantuan Pembelian Rumah Kos Rendah & Bantuan Modal Perikanan Bagi Asnaf Fakir dan Miskin LZS di sini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM5,028,000.00 disalurkan bagi membeli 104 buah rumah kos rendah untuk asnaf fakir dan miskin. Setiap asnaf menerima bantuan pembelian rumah yang bernilai di antara RM45,000 hingga RM50,000 sebuah.

oznor

Pembelian rumah yang mendapat kerjasama dari Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor (LPHS) adalah bagi menyantuni asnaf yang sebelum ini hanya menyewa dalam tempoh lama dan juga bagi mereka yang mempunyai masalah untuk membuat pinjaman dengan bank.

Di samping itu, seramai 252 orang asnaf turut menerima bantuan modal perikanan berjumlah RM756,000.00 dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Negeri Selangor (LKIM). Setiap mereka ini akan menerima bantuan modal perikanan berjumlah RM3,000 seorang berupa peralatan perikanan.

Turut hadir, Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin, Pengarah Eksekutif LPHS, Nazmi Osman dan Pengarah LKIM Negeri Selangor, Norazian Safian. Hadir sama, Ketua Pegawai Penyelaras (Officer In Charge) LZS, Abdul Basith Hamid.