LZS PINDAHKAN KELUARGA TUJUH BERANAK

0
260

PUCHONG, 20 Januari 2019 – Kisah keluarga tujuh beranak yang tinggal di sebuah rumah usang mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS) apabila keluarga tersebut akan dipindahkan ke sebuah rumah yang lebih selesa dan sempurna buat mereka.

Keluarga Mohd Azman Mohd Noor mendapat perhatian netizen apabila kesusahan mereka dimuat naik dan dikongsi di media sosial baru-baru ini. Prihatin dengan kesukaran yang dihadapi, LZS segera menziarahi keluarga itu bagi menyalurkan bantuan sewajarnya kepada mereka.

Untuk makluman, Mohd Azman Mohd Noor tidak mampu bekerja kerana menghidap sakit diabetis kronik. Bagi menampung keperluan harian, isterinya, Wiwik bekerja di sebuah kedai makan, manakala anak sulungnya yang berusia 18 tahun juga membantu dengan bekerja di sebuah pasar raya berhampiran. Selain itu, Mohd Azman turut mempunyai empat orang anak lain yang berusia di antara empat tahun hingga 15 tahun.

Hasil daripada siasatan, keluarga ini telah didaftarkan sebagai asnaf miskin LZS. Buat permulaan, LZS akan menyalurkan bantuan deposit sewa rumah untuk keluarga Mohd Azman. Keluarga ini dijangka akan dipindahkan pada penghujung Januari di mana sewa rumah tersebut akan dibiayai sepenuhnya oleh LZS. Sementara itu, keluarga Mohd Azman akan disantuni dengan bantuan kewangan bulanan sebanyak RM500 dan bantuan makanan bulanan bermula Januari ini.

LZS merakam ucapan penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerjasama bagi memastikan nasib keluarga ini terjamin. Pihak LZS akan terus melaksanakan pemantauan terhadap keluarga ini dan bantuan zakat lain akan disalurkan berdasarkan kepada keperluan mereka bergantung kepada syarat dan kelayakan.