CABARAN MENJEJAKI GOLONGAN YANG MEMERLUKAN

0
468

KLANG, 4 Mac 2019 – Turun padang menjejaki golongan yang layak menerima bantuan zakat antara cabaran terbesar buat calon Penolong Amil Kariah (PAK) dalam usaha menyantuni asnaf fakir dan miskin khususnya di Selangor.

Justeru itu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) memberikan pendedahan awal kepada PAK yang bakal dilantik dalam pemilihan pencalonan bagi sesi 2019 untuk turut serta dalam aktiviti menjejaki golongan yang layak dibantu melalui Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) di kariah Masjid Nurul Iman, Kg. Delek.

Bagi calon PAK, Abdul Rahim Bin Ibrahim, 32 tahun menjelaskan bagaimana cabaran yang dihadapi dalam menjejaki golongan ini agar tiada yang keciciran maklumat dalam proses permohonan bantuan.

“Antara kesulitan yang dihadapi adalah mengesan alamat rumah pemohon yang tidak lengkap. Ini ditambah pula dengan susunan kedudukan rumah tidak teratur yang menyukarkan lagi usaha menjejaki mereka yang memohon.”

Katanya lagi, “Maklumat yang salah dalam borang permohonan pula turut menjejaskan proses bancian. Pemohon seharusnya mengisi borang permohonan bancian dengan lengkap bagi memudahkan bukan sahaja LZS, malahan PAK untuk mengesan mereka seterusnya dapat membantu menyalurkan bantuan mengikut keperluan.”

“Tambah pula peranan PAK telah diperluaskan dengan diberi tanggungjawab untuk mengesyorkan 12 jenis bantuan yang bersesuaian mengikut kelayakan yang ditetapkan,” ujarnya lagi.

Bagi Zakaria Mat Taib, 52 pula berkata hasratnya ingin menjadi sebahagian daripada PAK adalah bagi membantu masyarakat di kawasan sekitar agar taraf kedudukan kewangan mereka lebih baik.

“Melihat kepada kedaifan hidup masyarakat setempat, mendorong saya untuk membantu mereka agar kehidupan lebih selesa. Bagi menyelami kehidupan mereka bukan mudah. Saya perlu engenali mereka dengan lebih dekat lagi.”

“Bagaimana kita hendak menyalurkan bantuan kepada mereka jika kita sendiri tidak mengenali ahli kariah. Bagi saya ini cabaran kepada PAK untuk mengenali ahli kariahnya agar dapat mendengar keluhan dan rintihan kehidupan mereka,“ katanya.

Ujarnya lagi, “Apa yang penting masyarakat perlu berkunjung ke surau atau masjid kariah masing-masing agar mereka mudah dikenali masyarakat setempat.“

Berlainan pula bagi Zanariah Bte Mohamed Yusuf, 47 PAK yang telah dilantik berkata beliau sering menjadi tempat rujukan ketika menjadi ahli Biro Kebajikan Muslimat antara faktor mendorong untuk menabur bakti bagi membantu mereka yang terbeban.

“ Bagi saya cabaran utama adalah bagi kaum hawa itu sendiri. Saya sering mengikuti suami yang juga seorang PAK menjalankan bancian dan siasatan, melihat adakala ibu tunggal ini berasa malu untuk berkongsi bebanan hidup mereka kepada PAK yang dilantik dikalangan kaum adam , “.

“ Sebagai seorang wanita, saya dijadikan tempat untuk mengadu dan berkongsi masalah kerana kami lebih memahami sesama kami , “ katanya .

“ Justeru itu saya melihat perlu adanya PAK yang dilantik dikalangan wanita agar proses siasatan dan bancian lebih mudah , “ tambahnya lagi.

Melalui pemerkasaan PAK yang telah dilaksanakan bermula pada tahun 2017, iniasiatif ini dilihat memberi impak dalam peranan PAK membantu LZS terutama bagi menjalankan siasatan, bancian serta semakan permohonan asnaf fakir, miskin, mualaf dan gharimin.