MAHABBAH CYCLING: LZS SUMBANG RM80 RIBU BIAYAI MESIN HEMODIALISIS

0
279
zakat selangor basikal sumbangan dialisis
zakat selangor basikal sumbangan dialisis

KLANG, 16 Mac 2019 – Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah, Raja Muda Selangor berkenan mencemar duli berangkat hadir ke program Mahabbah Cycling anjuran bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) baru-baru ini.

Program bersempena dengan Hari Buah Pinggang Sedunia ini mendapat sambutan dengan kehadiran hampir 500 orang peserta berbasikal. Dalam program tersebut, LZS turut menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM80,000 bagi membiayai pembelian mesin hemodialisis baharu di Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Turut memberi sumbangan termasuklah Bank Simpanan Nasional (BSN) berjumlah RM282,000, Central Sugar Refinery (CSR) RM200,000, Lembaga Tabung Haji RM100,000, Central Spectrum (M) Sdn Bhd RM40,000.00, dan juga Celcom Axiata Berhad RM40,000.

Dalam program tersebut, baginda bersama peserta terdiri daripada anggota kelab berbasikal dan orang awam berkayuh sejauh 12 kilometer, kira-kira jam 9 pagi bermula dari Masjid Al-Islah, Kampung Sementa, di sini.

Baginda turut berkenan menyampaikan bantuan perubatan dan barangan keperluan harian sumbangan daripada LZS kepada dua keluarga asnaf iaitu Mohd Azhar Abdul Aziz berjumlah RM7,800 dan keluarga pesakit dialisis Hasnul Hatimah Abu Bakar berjumlah RM14,160.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE, Datuk Bakhtiar Hussin.