KADAR ZAKAT FITRAH DI SELANGOR KEKAL RM7

0
1463

SHAH ALAM, 26 April 2019 – Kadar Zakat Fitrah yang ditetapkan untuk umat Islam di negeri Selangor pada tahun ini iaitu 2019M/1440H kekal RM7 seorang, sama seperti tahun sebelumnya.

Penentuan kadar zakat fitrah ini adalah berdasarkan kepada harga semasa bagi beras Super Tempatan Gred A seberat satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.60kg.

Namun begitu bagi golongan yang berkemampuan, boleh memilih untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan bagi diri dan tanggungan.

Kadar zakat fitrah tersebut adalah sebanyak RM14.00 seorang bagi beras yang bernilai RM13.00 hingga RM44.00 (untuk harga beras seberat 5kg) dan RM21.00 seorang bagi beras yang bernilai melebihi RM44.00 (untuk harga beras seberat 5kg). Walau bagaimanapun, kadar bayaran zakat fitrah melebihi RM7.00 adalah sebagai galakan sahaja dan tiada paksaan kepada pengeluar zakat di Selangor.

Sehubungan itu, bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah melantik seramai 2,754 penolong amil fitrah di seluruh Selangor sepanjang bulan Ramadan ini.

Orang ramai juga boleh menunaikan zakat fitrah di 27 buah cawangan LZS di seluruh Selangor, di samping beberapa pasar raya terpilih di sekitar Lembah Klang. Zakat fitrah juga boleh ditunaikan melalui 14 Penolong Amil Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan 15 Penolong Amil Institut Pendidikan Islam Swasta (IPIS) di seluruh Selangor.

Dalam perkembangan yang sama, LZS akan membuka 27 cawangannya di seluruh Selangor selama tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan ini. Ini bagi memudahkan masyarakat yang mengambil kesempatan menunaikan zakat harta dan fitrah pada bulan Ramadan. Waktu urusan pada hari bekerja bermula dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, cawangan LZS akan dibuka bermula 9.00 pagi hingga 3.00 petang.