KUALA LUMPUR, 10 Mei 2019 – Para pendeposit di Bank Islam dan Bank Muamalat kini lebih mudah menunaikan zakat di Lembaga Zakat Selangor (LZS) apabila kedua-dua bank tersebut menawarkan kemudahan pengiraan dan potongan zakat secara automatik bagi akaun simpanan dan semasa.
Terdahulu, Bank Islam telah melancarkan Kemudahan Pembayaran Zakat Akaun Simpanan Dan Pelaburan bersama Bank Islam pada 2 Mei 2019, manakala bersama Bank Muamalat telah melancarkan produk EZ-Zakat pada 7 Mei 2019.
Kemudahan pembayaran ini adalah inisiatif LZS bersama kedua-dua bank untuk memudahkan pendeposit beragama Islam di bank tersebut mengeluarkan zakat bagi wang simpanan mereka di akaun simpanan dan semasa secara automatik apabila cukup haul dan nisab.
Pengeluar zakat di Selangor yang memiliki akaun simpanan dan semasa di kedua-dua bank tersebut boleh mendapatkan perkhidmatan ini dengan mengunjungi mana-mana cawangan Bank Islam atau Bank Muamalat dan mengisi borang yang disediakan.