LZS KEMAS KINI KADAR HAD AL-KIFAYAH NEGERI SELANGOR

0
812

SHAH ALAM, 4 Februari 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengemas kini kadar had al- kifayah bagi Negeri Selangor mulai tahun 2020 bagi menggantikan kadar lama yang telah digunakan sejak tahun 2018.

Pelaksanaan kadar had al-kifayah baru ini adalah berdasarkan kajian lapangan yang dijalankan bagi menilai keperluan asasi sesebuah keluarga umat Islam di Selangor.

Had al-kifayah merujuk kepada suatu kadar keperluan asasi paling minimum bagi sesebuah isi rumah yang ditetapkan oleh LZS, berdasarkan kajian lapangan terhadap kos sara hidup masa kini di negeri Selangor. Keperluan asasi tersebut meliputi makanan, pakaian, tempat tinggal, pengangkutan, kesihatan dan pendidikan yang berubah setiap tahun selari dengan peningkatan kos sara hidup.

Ia digunakan sewaktu bancian asnaf bagi menentukan isi rumah yang layak dikategorikan sebagai fakir dan miskin.

Melalui pelaksanaan kadar had al-kifayah baru ini, dijangka lebih ramai keluarga dapat dikenal pasti untuk didaftarkan sebagai asnaf fakir atau miskin di Selangor, seterusnya disantuni agar tidak terpinggir daripada menerima agihan zakat. Untuk rekod, seramai 55,089 keluarga asnaf fakir dan miskin yang berdaftar dengan LZS di Selangor telah disantuni dengan wang zakat sepanjang tahun 2019.

Sehubungan itu, setiap pemohon perlu melampirkan slip gaji (bagi yang bekerja), penyata KWSP terkini (bagi yang pernah bekerja) atau pengesahan pendapatan (sekiranya tidak bekerja) sebagai dokumen wajib sewaktu proses pemohonan di LZS.

Untuk makluman, kadar had al-kifayah mula diguna pakai oleh LZS sejak tahun 2001. Bagi menepati kehendak semasa, LZS telah mengemas kini kadar had al-kifayah bermula tahun 2001 hingga 2018.

Selain itu, kadar had al-kifayah terkini juga akan digunakan sebagai kadar tolakan dalam kaedah taksiran zakat pendapatan ke atas pengeluar zakat.