SHAH ALAM, 20 April 2020 – Kadar Zakat Fitrah yang ditetapkan bagi umat Islam di Negeri Selangor pada bulan Ramadan tahun 2020 bersamaan 1441 Hijrah ialah sebanyak RM7.00 seorang, sama seperti tahun sebelumnya (2019). Ia selaras dengan kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang mengekalkan kadar fitrah pada tahun ini di Selangor.
Penetapan kadar zakat fitrah RM7.00 adalah berdasarkan kepada harga bagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya digunakan oleh masyarakat di Selangor.
Walau bagaimanapun, Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut menggalakkan golongan yang berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan. Secara tidak langsung, kita berpeluang untuk melakukan kebaikan dalam meraih keberkatan bulan Ramadan.
Kadar zakat fitrah tersebut adalah sebanyak RM14.00 seorang bagi individu yang memakan beras putih import/beras perang/beras pulut/herba ponni/beras wangi atau RM21.00 seorang bagi individu yang memakan beras basmathi/beras jepun/beras merah.
Untuk makluman, galakan menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan ini telah dilaksanakan oleh LZS sejak tahun 2018 lagi.
Dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak COVID-19 serta kegawatan ekonomi akibat daripada wabak ini, ramai umat Islam yang hilang punca pendapatan dan mungkin termasuk dalam golongan yang tidak berkemampuan.
Walaupun kewajipan mengeluarkan zakat fitrah tetap wajib ditunaikan oleh seorang Muslim untuk diri dan keluarga atau tanggungannya, namun bagi individu yang kemampuan ekonominya terbatas ketika ini, mereka boleh menunaikan zakat fitrah mengikut KEMAMPUAN DIRI DAN KELUARGA.
Takrifan kemampuan yang merupakan salah satu syarat wajib zakat fitrah merujuk kepada:
Mempunyai lebihan makanan (atau hartanya) selepas ditolak keperluan makanan serta keperluan asasi yang lain untuk dirinya dan tanggungannya untuk malam satu Syawal dan juga siangnya.
Oleh yang demikian, sekiranya lebihan yang ada itu hanya mencukupi untuk menunaikan zakat fitrah sebahagian sahaja daripada ahli keluarganya, maka hendaklah dikeluarkan zakat fitrah sekadar sebahagian sahaja daripada ahli keluarganya itu.
Mengambil kira situasi wabak COVID-19 dan juga Perintah Kawalan Pergerakan pada masa ini, LZS telah menyediakan pelbagai platform pembayaran atas talian (online) yang lebih pantas dan selamat. Ini bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat, bukan sahaja zakat fitrah malahan zakat harta pada bulan Ramadan.
Oleh itu, orang ramai boleh membuat pembayaran zakat secara atas talian (online) melalui: i. EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my
ii. Perbankan internet di sembilan bank iaitu Public Bank, Hong Leong Bank, Maybank, CIMB, Ambank, Bank Rakyat, RHB, Bank Islam dan Alliance Bank
iii. Portal MyEg
iv. Pos Online
v. Aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost
Di samping itu, LZS turut meletakkan QR Code di lokasi terpilih untuk memudahkan masyarakat mengakses terus ke platform pembayaran atas talian EzakatPay.
Selain daripada pembayaran zakat fitrah dan harta, masyarakat Islam juga boleh membuat pembayaran fidyah secara atas talian di EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my.
Bagi tujuan semakan dan mencetak penyata bayaran zakat yang telah dilakukan, pembayar zakat boleh layari https://ezo.zakatselangor.com.my.