MAKLUM BALAS LZS BERKENAAN KELUARGA TINGGAL RUMAH USANG

0
388

SHAH ALAM, 21 Ogos 2020 – Berikut merupakan maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan berita yang tersiar di portal Selangorkini bertajuk ‘ADN Sumbang RM15,000 Bantu Baik Pulih Rumah Usang’ baru-baru ini.

Berdasarkan rekod, keluarga Masrubi Ruhani merupakan asnaf fakir yang berdaftar dengan LZS sejak tahun 2015. Antara bantuan yang diterima termasuklah bantuan Hari Raya dan bantuan pendidikan untuk anak-anaknya. Bantuan zakat ini telah disalurkan atas nama bekas suami yang merupakan ketua keluarga pada ketika itu.

Bagaimanapun, untuk makluman Masrubi telah berpisah dengan suaminya pada tahun 2019 dan beliau menanggung lima orang anak yang berusia di antara 10 hingga 25 tahun. Prihatin dengan keadaan keluarga Masrubi selepas berpisah dengan suami, LZS turut menyantuni keluarga ini dengan bantuan kewangan bulanan bermula Julai 2020.

Berkenaan rumah usang yang didiami, hasil siasatan LZS mendapati rumah tersebut adalah rumah pusaka keluarga. Sebelum ini, LZS pernah menawarkan bantuan sewa rumah pada tahun 2015, namun bekas suami beliau menolak tawaran tersebut.

Sehubungan itu melihat kepada kondisi rumah yang uzur, LZS mencadangkan agar keluarga ini berpindah ke rumah sewa yang lebih selesa dan ia akan dibiayai oleh LZS. Manakala bantuan lain akan disalurkan berdasarkan kepada keperluan dan syarat kelayakan.