SHAH ALAM, 13 Oktober 2020 – Operasi Lembaga Zakat Selangor (LZS) di 22 cawangan akan berjalan seperti biasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa di Negeri Selangor bermula 14 Oktober hingga 27 Oktober 2020 mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bagaimanapun operasi di dua cawangan LZS iaitu Kompleks MAIS, Klang dan Klang Sentral yang terletak di kawasan zon merah akan ditangguhkan sepanjang tempoh PKPB.
Sebagai langkah kawalan dan pencegahan, semua pelanggan LZS diwajibkan untuk memakai pelitup muka, mengimbas suhu badan, menggunakan cecair sanitasi tangan yang disediakan dan mengimbas QR Code MySejahtera apabila mengunjungi premis LZS. Selain itu, kebersihan premis LZS turut akan dipantau dan dipastikan berada pada tahap optimum dengan mengadakan proses disinfeksi secara berkala.
Waktu operasi di semua cawangan LZS sepanjang tempoh PKPB adalah dari jam 9.00 pagi hingga 3.30 petang. Manakala bagi cawangan UTC Shah Alam adalah dari jam 8.00 pagi hingga 7.00 malam.
Masyarakat juga digalakkan memilih transaksi atas talian sebagai alternatif urusan zakat. Bagi semakan bantuan dan cetakan penyata, layari ezo.zakatselangor.com.my, manakala untuk pembayaran zakat sila layari fpx.zakatselangor.com.my.
Sebarang pertanyaan lanjut, hubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343.