LZS SANTUNI PETUGAS BARISAN HADAPAN HOSPITAL

0
332

SHAH ALAM, 12 Februari 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni petugas barisan hadapan Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang dengan mengagihkan sumbangan pek makanan kepada 1,250 orang petugas sepanjang tempoh empat minggu bermula 10 Februari.

Sumbangan pek makanan yang diagihkan tiga kali seminggu iaitu setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat adalah sebagai tanda sokongan dan menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan hospital yang bertungkus-lumus mengawal penularan pandemik COVID-19 sejak Mac tahun lalu.

Menariknya, pek ni disediakan oleh usahawan-usahawan trak makanan LZS yang menyumbang tenaga menyediakan enam menu berbeza sepanjang tempoh tersebut. Dalam masa sama, ia turut menjana pendapatan kepada usahawan yang terjejas ekoran pandemik melanda negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop, sumbangan pek makanan di kedua-dua buah hospital ini bagi meringankan bebanan petugas barisan hadapan yang menghadapi kekangan mendapatkan makanan ketika bertugas pada waktu malam.

“Tambahan pula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kantin hospital dan premis makanan di luar beroperasi dalam waktu yang singkat.”

“Pek makanan disediakan 100% oleh usahawan asnaf bermula dari memasak, membungkus dan mengedarkan kepada petugas barisan hadapan yang bekerja waktu malam mengikut ketetapan serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Untuk makluman, sumbangan pek makanan sepanjang tempoh tersebut menggunakan peruntukan amil dan tidak akan menjejaskan bantuan lain terutamanya asnaf fakir dan miskin.
Bagi usahawan trak makanan LZS, Mohd Najib Mohd Rais, 47 meluahkan rasa syukur diberi peluang untuk sama-sama menyumbang tenaga menyediakan makanan kepada petugas barisan hadapan ketika PKP dilaksanakan.

Beliau turut mengakui pendapatan terjejas ketika ini, namun tidak melemahkan semangat untuk terus berusaha mencari rezeki.

“Hampir 30 peratus pendapatan saya terjejas, namun rezeki masih ada untuk kami sekeluarga. Bagi penyediaan makanan ini, saya akan pastikan makanan akan dimasak di sini agar makanan masih panas ketika diedarkan kepada petugas. Sekitar pukul tujuh petang makanan akan siap dimasak untuk diedarkan kepada mereka yang akan memulakan tugas waktu malam, “ katanya yang ditemui di Hospital Selayang.