LZS SERAH SUMBANGAN 20 BUAH KERUSI RODA KEPADA HOSPITAL UiTM

0
442

PUNCAK ALAM, 25 Jun 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan sumbangan 20 buah kerusi roda kepada Hospital UiTM sebagai usaha berterusan menyokong institusi awam utama di negara ini dalam menangani pandemik COVID-19.

Kerusi roda berkenaan diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop kepada Pengarah Hospital UiTM, Profesor Dr. Sazzli Shahlan Kasim dalam satu majis yang diadakan di sini hari ini.

Menurut Saipolyazan, sumbangan tersebut merupakan antara inisiatif LZS membantu keperluan kritikal hospital-hospital pada masa ini.

“Sumbangan kerusi roda ini dilihat dapat membantu kelengkapan hospital terutamanya untuk kegunaan pesakit di pelbagai wad, lebih-lebih lagi Hospital UiTM kini telah dilantik sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala mega. Diharap sumbangan LZS ini dapat membantu Hospital UiTM memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.”

Sebelum itu, Hospital UiTM turut menerima sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit LZS berjumlah RM50,000.00.

Untuk makluman, Hospital UiTM adalah antara 17 buah hospital di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur yang menerima sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit LZS berjumlah RM1,770,000. Sumbangan ini adalah sebahagian usaha LZS menyantuni golongan terkesan akibat pandemik COVID-19 bagi meringankan beban mereka yang memerlukan kos pembiayaan menjalani rawatan di hospital.

Terdahulu, LZS turut menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bagi merealisasikan program Skuad Vaccine On The Go (VOTG). Tiga buah kenderaan MPV LZS diaktifkan sebagai kenderaan Skuad VOTG bagi membawa petugas-petugas kesihatan menyampaikan perkhidmatan pemberian vaksin kepada 265 buah Pusat Jagaan Warga Emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) di seluruh Selangor bermula pada 8 Jun 2021.