LIMA PELAJAR TERIMA TAJAAN DERMASISWA LZS

0
395

SHAH ALAM, 15 September 2021 – Seramai lima orang pelajar yang menerima tajaan Dermasiswa Lembaga Zakat Selangor (LZS) berlepas ke Jordan hari ini untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah.

Turut menyertai mereka ialah 60 orang pelajar termasuk dua orang yang mendapat Biasiswa Khas Menteri Besar. Pemergian para pelajar tersebut diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop, “Tajaan Dermasiswa ini membabitkan agihan zakat sebanyak RM104,000.00 bagi seorang pelajar untuk tempoh empat tahun pengajian meliputi yuran tahunan, wang persediaan, tiket pergi dan balik, pembelian buku dan perbelanjaan sara hidup. Mereka ini antara yang terbaik selepas sesi temuduga dan diharap akan membawa pulang kejayaan dan boleh menabur bakti di Selangor nanti.”

Ketika ini, seramai 93 orang pelajar yang masih melanjutkan pengajian di Timur Tengah menerima tajaan Dermasiswa LZS. Daripada jumlah tersebut, 16 orang merupakan pelajar asna fakir dan miskin, manakala 77 lagi adalah asnaf fisabilillah yang dibiayai pengajian menggunakan dana zakat.