ZAKAT FITRAH NEGERI SELANGOR RM7.00

0
3027

SHAH ALAM, 28 Mac 2022 – Kadar Zakat Fitrah di Negeri Selangor bagi Ramadan tahun ini ditetapkan sebanyak RM7.00 seorang.

Penetapan kadar zakat fitrah RM7.00 adalah berdasarkan kepada harga bagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya digunakan oleh masyarakat di Selangor.

Walau bagaimanapun, Lembaga Zakat Selangor (LZS) amat menggalakkan golongan yang berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan. Secara tidak langsung, kita berpeluang untuk melakukan kebaikan dalam meraih keberkatan bulan Ramadan.

Kadar zakat fitrah tersebut adalah sebanyak RM14.00 seorang bagi individu yang memakan beras putih import/beras perang/beras pulut/herba ponni/beras wangi atau RM21.00 seorang bagi individu yang memakan beras basmathi/beras jepun/beras merah.

Untuk makluman, galakan menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan ini telah dilaksanakan oleh LZS sejak tahun 2018 lagi.

Bagi memudahkan umat Islam di Selangor menunaikan bukan sahaja zakat fitrah malahan zakat harta pada bulan Ramadan, LZS telah menyediakan pelbagai platform pembayaran dalam talian yang lebih pantas dan selamat melalui:

  • EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my
  • Aplikasi Zakat Selangor
  • Perbankan internet4
  • Portal MyEg dan Pos Online
  • Aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost

Di samping itu, LZS turut melantik seramai 2,745 orang ketua dan penolong amil fitrah di seluruh Selangor untuk mengutip zakat fitrah sepanjang Ramadan tahun ini. Masyarakat Islam dinasihatkan agar membayar zakat fitrah hanya kepada amil dilantik oleh LZS yang dibekalkan kad tauliah dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang berurusan.

KENYATAAN OLEH,

MUHD FIKRI NAIM HARUN

KETUA DIVISYEN KUTIPAN,

LEMBAGA ZAKAT SELANGOR