LZS TURUN PADANG KESAN KELUARGA MEMERLUKAN

0
708

KAJANG, 24 September 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) daerah Hulu Langat hari ini turun padang bagi mengesan keluarga yang memerlukan dan layak didaftarkan sebagai golongan asnaf seterusnya disantuni dengan manfaat zakat dalam program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) di sini.

Ia melibatkan 45 keluarga di kariah Masjid At-Taqwa, Bandar Bukit Mahkota, Masjid Bandar Seri Putra dan Masjid Sungai Kembong Hilir.

Operasi rutin yang bersifat cari, siasat dan bantu ini bertujuan bagi mengenal pasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan dan akan disenaraikan sebagai asnaf fakir, miskin dan mualaf. Matlamat LZS untuk menangani kemiskinan di Selangor, iaitu kepada golongan yang layak, namun masih belum disantuni oleh LZS atas beberapa faktor.

Melalui operasi ini, siasatan secara terus dijalankan bagi menyemak keperluan berdasarkan haddul kifayah (garis penentuan kemiskinan) keluarga yang terlibat.

Seterusnya, keluarga yang layak didaftarkan sebagai asnaf, akan disantuni dengan bantuan zakat seperti bantuan yuran dan kelengkapan persekolahan, bantuan Ramadan dan Hari Raya serta bantuan lain bergantung kepada keperluan semasa keluarga tersebut. Selain itu, aktiviti turun padang turut menjejaki keperluan lain bagi umat Islam di kawasan sekitar melalui agihan wang zakat kepada asnaf gharimin dan fisabilillah.

Dalam masa sama, LZS turut menjalankan semakan status terkini keluarga asnaf fakir dan miskin sedia ada bagi memastikan bantuan zakat yang disalurkan bertepatan dengan keperluan sesebuah keluarga Operasi SJK hari ini turut mendapat kerjasama daripada Penolong Amil Kariah (PAK) LZS. Untuk makluman, PAK ini merupakan individu yang dilantik oleh LZS bagi menjalankan tugas-tugas bancian, semakan dan menjaga kebajikan orang Islam yang layak menerima zakat dalam dikategorikan asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Sebagai mata dan telinga kepada LZS, PAK amat berperanan sebagai pemudahcara antara LZS dengan masyarakat terutama golongan asnaf.

Sehingga Jun 2022 seramai 59,991 keluarga keluarga asnaf fakir dan miskin telah disantuni oleh LZS. Daripada jumlah tersebut, 8,887 adalah keluarga asnaf di daerah Hulu Langat.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.