SHAH ALAM, 12 November 2022 – Lembaga Zakat Selangor hari ini meraikan 200 penolong amil yang telah memberi komitmen dan sumbangan dalam memudahkan pengeluar zakat serta menyantuni golongan asnaf di Majlis Anugerah Ketua dan Penolong Amil Negeri Selangor 2021.
Mereka yang diraikan ini terdiri daripada ketua dan penolong amil kariah, padi dan fitrah yang dilantik oleh LZS di sembilan daerah bagi membantu urusan kutipan dan agihan zakat di Selangor.
Sebanyak 88 penerima menerima anugerah membabitkan lima kategori dalam majlis tersebut. Lima kategori tersebut adalah Anugerah Ketua Penolong Amil Kariah Terbaik, Anugerah Penolong Amil Kariah Terbaik, Anugerah Ketua Penolong Amil Fitrah Terbaik, Anugerah Penolong Amil Fitrah Terbaik dan Anugerah Penolong Amil Padi Terbaik.
Setiap penerima anugerah akan menerima wang tunai, sijil penghargaan berserta plak yang mana mereka ini dipilih berdasarkan Penilaian Prestasi Tahunan 2021 yang dilaksanakan oleh LZS.
Untuk rekod, sehingga kini LZS mempunyai seramai 1,926 penolong amil kariah, 2,747 penolong amil fitrah dan 24 penolong amil padi di seluruh Selangor. Mereka ini berperanan sebagai perantara dan pemudah cara LZS dengan masyarakat terutamanya yang melibatkan kariah.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohamad Khair Zainal dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.