LZS AGIH LEBIH RM 1 BILION: 350,000 TERIMA MANFAAT

0
1521

SHAH ALAM, 22 Mei 2023 – Institusi zakat terkemuka di Malaysia, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah mencatat pencapaian bersejarah dengan memecah rekod pengagihan zakat iaitu sebanyak RM1.05 bilion bagi tahun berakhir 31 Disember 2022. Ia telah memberi manfaat kepada 350,000 individu Asnaf dan pelbagai organisasi di Selangor. Dengan pencapaian pengagihan zakat yang tertinggi sejak penubuhannya, membuktikan komitmen LZS demi memenuhi keperluan Asnaf yang semakin meningkat di negeri ini.

Agihan Zakat 2022
Pada tahun 2022, LZS telah mengagihkan sebanyak RM1.05 bilion kepada lapan kategori Asnaf. Jumlah agihan zakat ini meningkat sebanyak 13.8% dari RM922 juta pada tahun sebelumnya. Ini didorong oleh keberkesanan agihan zakat dan saluran kutipan LZS, di mana pelbagai usaha telah dilaksanakan sepanjang tahun bagi menyantuni mereka yang memerlukan.

Mencerminkan landskap sosioekonomi bagi tahun dalam tinjauan, LZS terus menumpukan usahanya bagi menyokong pembangunan golongan Asnaf menerusi lima teras yang merangkumi pelbagai aspek seperti pembangunan sosial, pembangunan pendidikan, pembangunan institusi agama, pembangunan insan dan pembangunan ekonomi, serta bantuan khas melalui Zakat Selangor Peduli.

Selaras itu, sebahagian besar daripada pengagihan zakat iaitu sebanyak RM885 juta telah diperuntukkan bagi program pembangunan sosial, pendidikan dan institusi keagamaan. Sebanyak RM700 juta dari jumlah keseluruhan agihan zakat telah disalurkan bagi Program Pembangunan Sosial. Ini menandakan peningkatan yang ketara di mana ia melebihi pengagihan RM100 juta berbanding tahun sebelumnya untuk inisiatif yang sama.

Selain itu melalui dana pengurusan Amil, LZS menyalurkan semula sebanyak RM3.6 juta sebagai sebahagian daripada agihan zakat kepada Asnaf. Ia merupakan sumbangan tertinggi setakat ini oleh Amil untuk terus berbakti kepada masyarakat. Dengan pengurusan operasi yang berhemah dan berkesan, LZS sebagai Amil terus menyumbang semula dana Amil kepada golongan Asnaf dengan jumlah terkumpul sebanyak RM5.5 juta sejak 2021.

Kutipan Zakat 2022
Kejayaan agihan zakat ini adalah hasil darpadai kutipan zakat yang menyaksikan peningkatan sebanyak 7.5% bagi tahun 2022. Kepercayaan tinggi yang ditunjukkan oleh Muzakki, atau pembayar zakat terhadap LZS turut menyumbang kepada pencapaian tersebut. Ini dapat dilihat menerusi peningkatan bilangan pembayar zakat yang menunaikan zakat dari 364,778 orang pada 2021 kepada 400,580 orang pada 2022.

Pertumbuhan signifikan ini disebabkan oleh penggunaan saluran pembayaran digital yang lebih tinggi, membolehkan pembayaran zakat dilakukan dengan lebih mudah melalui kad debit atau kredit. Untuk makluman, pembayaran secara kad debit dan kredit telah menyaksikan peningkatan kadar penggunaan yang menggalakkan sebanyak 170%.

Manakala zakat pendapatan pula menjadi kutipan zakat tertinggi yang berjumlah RM612.5 juta. Di antara pelbagai saluran kutipan zakat yang disediakan, pembayaran zakat secara potongan gaji menyumbang kutipan tertinggi iaitu sebanyak RM353.3 juta.

Pengerusi LZS, Y.A.M. Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata, “Dengan kadar kemiskinan bandar yang semakin meningkat di Selangor, populasi golongan Asnaf dijangka akan meningkat sebanyak 400,000 penerima menjelang 2025. Walaupun kami telah mencatatkan pencapaian yang ketara apabila menjangkau agihan sebanyak RM1 bilion, namun kita perlu sedar bahawa keperluan agihan pada masa hadapan semakin meningkat harus ditangani. Pengagihan zakat berjaya dilaksanakan dengan berkesan berikutan sumbangan berterusan Muzakki, dan kami amat menggalakkan orang ramai menunaikan kewajipan zakat mereka demi membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat Asnaf.”

Akan Datang
Inflasi dijangka akan berterusan pada tahun 2023 dan ini akan memberi kesan kepada individu dan keluarga di kawasan bandar, terutamanya mereka yang mempunyai sumber kewangan yang terhad. Oleh itu, LZS akan terus meningkatkan perkhidmatannya demi manfaat negeri dan rakyat dalam menguruskan keperluan masa hadapan yang berlatarbelakangkan keadaan pasaran mencabar.

Y.A.M. Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata, “Dalam menangani peningkatan kos sara hidup dan jangkaan peningkatan bilangan Asnaf pada tahun-tahun akan datang, kami berusaha memastikan bantuan zakat sentiasa mencukupi. Oleh itu penting untuk LZS terus berada dalam landasannya. Melalui pengurusan yang cekap dan tadbir urus korporat yang kukuh serta mematuhi prinsip Syariah, LZS komited menyalurkan pengagihan zakat yang berkesan dan memberi impak kepada komuniti. Paling penting, kami akan terus memacu penglibatan komuniti kerana ia merupakan teras kepada segala usaha yang dijalankan, selari dengan rangka kerja ESG kami.”

Bermula dari 1 Julai 2023, LZS akan menggunakan kadar Had Kifayah baru, meningkatkannya daripada RM2,734 kepada RM2,990. Ini bertujuan untuk membantu lebih ramai jumlah Asnaf yang berkelayakkan dan memastikan mereka menerima manfaat zakat sepenuhnya.