SEPANG, 25 September 2024 – Seramai 17 pelajar tajaan Dermasiswa Lembaga Zakat Selangor (LZS) berlepas ke Timur Tengah untuk melanjutkan pengajian mereka di Mesir dan Jordan. Mereka terdiri daripada empat orang pelajar yang melanjutkan pengajian ke Mesir, kesemuanya daripada asnaf fisabilillah, manakala 13 pelajar lagi ke Jordan, dua orang daripada asnaf fakir dan miskin serta 11 orang di bawah asnaf fisabilillah.
Pelepasan pelajar dermasiswa LZS bersama-sama 12 orang pelajar tajaan Tabung Kumpulan Wang Bisasiswa Negeri Selangor dan 51 Pelajar persendirian kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) disempurnakan oleh wakil Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Amirul Mukminin Amiruddin.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam JAIS, Anas Ayob dan serta Ketua Jabatan Pengurusan Pendidikan, Divisyen Pembangunan Asnaf LZS Saiful Anuar Abdullah Salleh.
Penghantaran pelajar ke Jordan telah dilakukan pada 24 September, manakala kumpulan pelajar ke Mesir berlepas sehari kemudian, pada 25 September 2024.
Para pelajar ini dijangka akan memanfaatkan ilmu yang dipelajari di Timur Tengah untuk kembali berkhidmat dan menyumbang kepada masyarakat dan pembangunan negeri Selangor.
LZS berharap agar para pelajar dapat menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh dan menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus menyokong usaha LZS dalam membangunkan potensi asnaf melalui pendidikan.