LZS LANCAR KEMPEN AKHIR TAHUN ‘SAMA-SAMA KONGSI’

0
178

SHAH ALAM, 4 Disember 2024 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melancarkan kempen ‘Sama-Sama Kongsi’ sebagai seruan dan galakan kepada umat Islam terutamanya di Selangor untuk menyegerakan kewajipan zakat sebelum berakhir tahun 2024.

Melalui kempen akhir tahun ini, LZS menyeru masyarakat yang layak untuk berkongsi rezeki dengan zakat dan berganding bahu membantu golongan asnaf di Selangor. Inisiatif ini bertujuan memastikan asnaf dapat terus mengharungi cabaran ekonomi semasa, seterusnya memperkasakan diri dan keluarga mereka. Untuk makluman sehingga kini, LZS menyantuni lebih 72,000 keluarga asnaf fakir, miskin dan individu mualaf di Selangor.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan dalam satu majlis yang diadakan di sini.

Serentak dengan pelancaran ini, LZS mengajak masyarakat untuk menyertai kempen-kempen inisiatif galakan kepada pengeluar zakat dengan menawarkan pelbagai tawaran hadiah menarik bernilai lebih RM60,000 sempena kempen ‘Sama-Sama Kongsi’. Kempen inisiatif tersebut termasuklah:

i) Kempen Start With Sepuluh terbuka kepada pengeluar zakat terutamanya golongan muda di institusi pengajian tinggi (IPT) yang membuat bayaran zakat bermula RM10 menerusi saluran pembayaran disediakan oleh LZS.

ii) Kempen Jom Auto Zakat Bulanan terbuka kepada individu, peniaga dan syarikat yang mula mendaftar pembayaran zakat secara bulanan atau menambah caruman zakat menerusi saluran pembayaran Direct Debit dan Skim Potongan Gaji.

iii) Kempen Early Bird di 18 cawangan LZS bermula pada 1 hingga 6 Disember khusus kepada 10 pengeluar zakat terawal yang mengunjungi cawangan LZS setiap hari.

Selain itu, bagi memudahkan urusan umat Islam di Selangor menunaikan kewajipan berzakat, pelbagai kemudahan pembayaran disediakan bagi memberi pilihan kepada pengeluar zakat. Ini termasuklah dengan waktu operasi 7 hari seminggu di semua cawangan LZS sepanjang Disember ini, saluran pembayaran zakat dalam talian seperti aplikasi ZakatSelangor, EZakatPay, perbankan internet, aplikasi e-dompet, portal MYEG dan pos online.

Maklumat lanjut berkenaan kempen ‘Sama-Sama Kongsi’ boleh diperoleh dengan melayari jom.zakatselangor.com.my atau melalui media sosial rasmi LZS.

Dalam majlis yang sama, LZS turut menyalurkan bantuan zakat berjumlah RM5,820,008 sempena pelancaran kempen ‘Sama-Sama Kongsi’.

Daripada jumlah tersebut, Sumbangan Ithbat Hafazan menerima agihan terbesar sebanyak RM3,566,800, manakala RM1,872,500 disalurkan melalui Program Sekolah Angkat Zakat Selangor (PROSAZ) yang memberi manfaat kepada 60 buah sekolah di seluruh Selangor. PROSAZ merupakan kerjasama LZS dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), memberi fokus khusus kepada anak-anak asnaf fakir dan miskin melalui aktiviti pembangunan akademik di sekolah.

Sementara itu, tiga mahasiswa fakir dan miskin menerima Bantuan Dermasiswa Pengajian Tinggi dengan jumlah agihan zakat sebanyak RM198,308 bagi melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi dan RM140,800 disalurkan bagi Bantuan Peralatan dan Baik Pulih Surau.

Ahmad Fadhil Hassan dari kanan beramah mesra dengan penerima bantuan LZS

Selain itu, LZS terus komited dalam membantu individu yang memerlukan apabila empat penerima menerima bantuan bernilai RM41,000. Bantuan tersebut meliputi bantuan kewangan bulanan, sewa rumah dan perubatan. Penyerahan bantuan ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan LZS, tetapi turut menghidupkan semangat ‘Sama-Sama Kongsi’ untuk memastikan agihan zakat benar-benar memberi impak positif kepada kehidupan golongan asnaf.

Turut menyokong kempen ‘Sama-Sama Kongsi’ ini, dua syarikat yang menunaikan zakat perniagaan bagi membantu asnaf di Selangor. Syarikat tersebut ialah Infinity Gigabyte Sdn. Bhd yang menyerahkan zakat perniagan berjumlah RM5,000 dan NZ Venture Logistic (M) Sdn. Bhd sebanyak RM2,500.

Hadir sama dalam majlis ini, Ketua Pegawai Korporat dan Projek Khas LZS, Ariffa Ariffin dan Ketua Pegawai Kewangan LZS, Rapizah Muhammad Sharif.