SABAK BERNAM,16 Januari 2025 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyediakan peruntukanagihan zakat sebanyak RM36,436,840 (RM36.4 juta) bagi membiayai persiapan persekolahan 70,588 anak asnaf fakir, miskin dan mualaf sesi 2025.
Ia meliputi semua peringkat umur pelajar iaitu pra sekolah seramai 1,119 orang, Sekolah RendahKebangsaan/Sekolah Rendah Agama (33,117 orang), Sekolah Menengah Kebangsaan danSekolah Menengah Agama seramai 36,292 orang.
Simbolik penyerahan disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ PadukaEmeritus Prof. Dr. Muhamad Awang dalam satu majlis yang diadakan di sini pada hari ini.
Pemberian bantuan persekolahan ini merupakan inisiatif tahunan yang dilaksanakan bagi
meringankan beban ketua keluarga asnaf yang berdaftar dengan LZS, terutama dalam
menyediakan kelengkapan persekolahan serta menampung kos yuran anak-anak mereka sekaligus memastikan kebajikan pendidikan golongan asnaf di Selangor terus terbela.
Setiap pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan akan menerima bantuan kelengkapan persekolahan pada kadar RM170.00 seorang dan pelajar Sekolah Rendah Agama pula pada kadar RM150.00 seorang. Manakala bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan atau Sekolah Menengah Agama pula akan menerima sebanyak RM200.00.
Kelengkapan persekolahan ini meliputi pakaian seragam, peralatan seperti beg, alat tulis dan sebagainya. Setiap pelajar diwajibkan untuk membeli sepasang pakaian seragam sekolah dan selebihnya untuk membeli keperluan yang lain berdasarkan syarat dan panduan yang ditetapkan.
Oleh itu bermula 18 Januari sehingga 17 April 2025, penerima bantuan boleh menebus bantuan yang diterima di pasar raya yang ditetapkan oleh LZS mengikut daerah masing-masing.
Setiap pelajar juga menerima bantuan yuran persekolahan antara RM100 hingga RM250,
bergantung kepada peringkat persekolahan mereka. Selain itu, bantuan tambahan sebanyak RM100 turut diberikan kepada semua pelajar untuk menampung keperluan persekolahan lain.
Dengan itu secara purata, setiap keluarga akan menerima bantuan sehingga RM2,000, bergantung kepada jumlah tanggungan dalam keluarga.
Pemberian bantuan ini disalurkan melalui tiga kaedah bayaran iaitu kredit ke akaun bank ketua keluarga, baucer tunai (V-Cash) atau secara tunai.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Ketua Pegawai
Operasi LZS, Ahmad Fadhil Hassan.