INOVASI DAN TEKNOLOGI MEMUDAHKAN PELAKSANAAN IBADAH ZAKAT

0
1328

Oleh: Hamizul Abdul Hamid & Noormazla Mohamad Nizan

“Emm…mana sempat ‘nak bayar zakat. Sibuk dan tidak ada masa nak pergi kaunter zakat.”

Inilah antara alasan yang lazim digunakan oleh mereka yang tidak sempat membayar zakat. Kesesakan jalan raya, kesusahan mencari parkir dan harus pula beratur serta menunggu di kaunter zakat, dijadikan alasan untuk ‘menjustifikasikan’ tindakan. Hakikatnya, kita hanya perlu berpegang kepada pepatah Melayu, ‘jika hendak seribu daya, tak hendak seribu alasan’.

Ironisnya, dunia sudah pun berubah dan kini, dengan adanya kemudahan internet di sana sini, maka sepatutnya tiada lagi kalimah menunaikan zakat itu susah. Sibuk atau sesaknya jalan raya, ia tidak sepatutnya lagi menjadi alasan. Apatah lagi, zakat adalah kewajipan paling asas bagi umat Islam. Meninggalkan zakat adalah satu kesalahan, menjadi punca datangnya dosa dan mengakibatkan hidup hilangnya keberkatan.

Allah SWT menyatakan: “Dirikanlah Solat dan tunaikanlah zakat serta rukuklah bersama dengan orang yang rukuk,” (al-Baqarah: 43). Manakala di dalam surah at-Taubah, ayat 103 pula: “Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan doakanlah mereka, kerana sesungguhnya doamu itu dapat memberikan ketenangan bagi mereka.”

Zaman ini penggunaan internet dalam kalangan masyarakat dunia semakin meningkat dengan pesatnya. Internet turut merubah pola kehidupan masyarakat. Semuanya kian mudah dan cepat. Membayar bil utili, membeli barangan, memesan perkhidmatan, membuat aduan, menjelaskan cukai bahkan menyalurkan komentar pun boleh dilakukan menerusi internet. Semua ini adalah gaya hidup baharu yang hampir tidak terjangkaukan dek pemikiran orang-orang zaman dahulu.

Dalam kondisi inilah, institusi zakat seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) juga tidak terlepas daripada merebut peluang menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada masyarakat. Dengan hanya satu klik, kita bukan sahaja mampu mendapatkan pelbagai informasi berguna mengenai zakat, tetapi juga melakukan taksiran dan juga menunaikan zakat dengan cepat dan tepat.

Inilah dampak teknologi dalam dunia zakat yang amat mudah, hinggakan setitis peluh tidak mengalir di dahi untuk melangsaikannya. Hal ini amat sesuai dengan saranan Allah SWT: “Allah menghendaki kemudahan bagi kamu, dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu,” (al-Baqarah: 185)

Bahkan ayat ini juga menjadi picu yang memotivasikan institusi zakat agar sentiasa pro-aktif memenuhi keperluan semasa. Natijahnya, ia bukan sekadar memudahkan urusan orang ramai dalam melunaskan pembayaran zakat dengan pantas dan selamat; bahkan ia mampu memangkas pandangan naïf sebahagian pihak bahawa institusi agama selalunya terkebelakang dan mundur dalam mengeksploitasi kehadiran teknologi canggih masa kini.

Justeru itu, antara inovasi dan teknologi yang disediakan oleh institusi zakat dalam urusan penunaian zakat, adalah e-Zakat Pay, kad kredit, perbankan internet, khidmat pesanan ringkas (SMS), perbankan telefon dan mesin ATM. Para pengguna internet hanya perlu melayari laman sesawang institusi zakat, misalnya www.zakatselangor.com.my untuk memperolehi kemudahan e-Zakat Pay ini.

Setakat hari ini juga, sebanyak 12 institusi bank telah mengambil bahagian menyediakan perbankan internet bagi transaksi zakat. Manakala, kad kredit Islamik dan kad debit menjadi medium baharu transaksi tanpa tunai yang diidamkan ramai eksekutif muda zaman sekarang. Nah, ini baharu sebahagian daripada kemudahan transaksi zakat menerusi internet yang boleh dicapai, dan tidak mustahil banyak lagi yang akan diterokai pada masa mendatang.

Apa yang penting, dengan adanya kemudahan ini, ia akan menjadi satu medium transaksi secara talian yang menghubungkan antara bank-bank dalam urusan pembayaran zakat kepada institusi zakat di Malaysia. Dalam konteks yang lebih luas, ia bukan sahaja memudahkan urusan pembayaran zakat; bahkan memungkinkan umat Islam terhindar daripada dosa melalaikan zakat kerana alasan kesibukan dan sebagainya.

Akhirnya, inilah sumbangan teknologi dalam pemerkasaan zakat. Bahkan, tidak mustahil suatu masa nanti, para amil zakat hanya perlu membawa satu alat senipis buku tulis dan sekecil buku nota ke rumah asnaf, lalu melakukan bancian zakat dan sebagainya lagi terus di rumah mereka. Ia pastinya mempercepatkan kerja, menjimatkan masa dan paling utama, membolehkan manfaat zakat segera sampai kepada penerimanya.

Semoga umat Islam di Malaysia dapat memanfaatkan pelbagai kemudahan yang telah disediakan ini dengan sebaiknya. Ibarat peribahasa Melayu, ‘bagai belut digetir ekornya’, kerja akan menjadi laju, urusan pun mudah segalanya. Wallahua’lam.

Nota: Hamizul Abdul Hamid adalah Eksekutif Komunikasi Korporat dan Noormazla Mohamad Nizan adalah pelajar praktikal, Universiti Kebangsaan Malaysia.