BANTUAN ZAKAT HANYA SEMENTARA

0
936

Oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid

ADA orang yang menyatakan, sekali mereka mendapat bantuan zakat, maka mereka berhak ke atas bantuan zakat itu sehinggalah ke akhir hayat mereka. Adakah benar kenyataan ini? Bagaimana pula dengan pandangan Islam dan peranan yang sewajarnya dimainkan oleh umat Islam dan institusi zakat?

Memang tidak dinafikan bahawa, pihak institusi zakat seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) memang sering berhadapan dengan isu-isu seperti ini. Ia memang memerlukan penjelasan dan jawapan, demi mengelakkan masyarakat umum, dan juga dalam kalangan pembayar zakat khususnya, daripada mempunyai persepsi yang buruk terhadap pihak institusi zakat.

Memang tidak dinafikan juga, bahawa zakat adalah suatu komponen penting yang dianjurkan oleh Islam untuk membela fakir dan miskin. Namun begitu, zakat adalah satu mata rantai dalam keseluruhan perjalanan sistem Islam yang dinamakan syariat. Zakat hanya dapat bergerak secara berkesan, andai syariat Islam dijana secara komprehensif dan seluruh potensi ummah digembeleng secara bersama demi kemajuan umat Islam.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan: “Jika sistem zakat berdiri secara terpisah daripada ajaran Islam yang lain, sistem zakat ini tidak akan mampu mencukupi keperluan golongan miskin. Hal ini boleh menimbulkan kemarahan pelbagai pihak terhadap sistem zakat dan kesangsian mereka terhadap keberkesanannya.” (Institusi zakat: Peranan dan tanggungjawabnya, hal. 99).

Sementara itu, jika kita merujuk kepada sejarah pada zaman pemerintah Saiyidina Umar bin Abdul Aziz r.a (memerintah 99-101 hijrah) misalnya, baginda bukan sahaja memperkasakan aspek kutipan dan agihan zakat; bahkan baginda mengarahkan agar seluruh sistem sosial di dalam negaranya diperbaiki. Termasuklah di dalamnya, memperkasakan aspek ilmu dan kesedaran diri rakyatnya. Masjid meriah dengan majlis ilmu, para ulama menjadi obor yang sentiasa menyuluh kehidupan umat dan para penjawat awam serta rakyat sentiasa bersifat bahu-membahu membangunkan negara selaras dengan syariat.

Hasilnya, sungguhpun hanya kira-kira tiga tahun baginda memerintah; namun disebutkan di dalam sejarah, tiada lagi orang miskin yang mahu menerima zakat pada masa itu. Pun begitu begitu hakikatnya, adalah dipercayai bukan tiada langsung orang-orang miskin; namun mereka termasuk ke dalam golongan orang yang ‘kaya hati’. Mereka mungkin miskin dari aspek harta; tetapi jiwa mereka kaya. Maka, mereka tidak suka menzahirkan kemiskinannya dan mereka lebih rela berusaha sendiri memenuhi keperluan diri dan keluarganya.
Tepat seperti mana hadis Nabi Muhammad SAW: “Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta; sesungguhnya kaya itu adalah kekayaan jiwa.” (Muttafaqun ‘alaih)

Sementara itu, hari ini pula, antara cabaran terbesar institusi zakat ialah, merubah persepsi dan kefahaman umum umat Islam, khususnya kalangan penerima zakat, bahawa bantuan zakat adalah sesuatu yang sementara. Zakat sebenarnya hanya ibarat ‘pemangkin’ yang menjadi baja dan air bagi menyuburkan diri mereka. Asnaf zakat tidaklah wajar mendambakan bantuan zakat untuk selama-lamanya sepanjang kehidupan mereka.

Ini kerana, berdasarkan pertunjuk sunnah Nabi Muhammad SAW, banyak sekali baginda mengarahkan agar umat Islam tidak selesa untuk menjadi orang yang senantiasa menerima bantuan orang lain. Misalnya di dalam sebuah hadis yang begitu mahsyur: “Tangan yang di atas adalah lebih mulia dari tangan yang di bawah.” (Hadis riwayat Bukhari)

Bahkan, dalam sebuah hadis daripada Abu Musa r.a; nabi dengan terang dan jelas telah mengarahkan agar para sahabatnya bekerja dan dengan itu, mereka mendapat harta dan dapat pula memberikan hartanya kepada orang lain. Sabda Nabi SAW: “Hendaklah setiap orang Islam itu bersedekah, jika dia tidak dapat berbuat demikian, maka hendaklah dia berusaha sendiri (bekerja) yang dapat memberi faedah kepada dirinya sendiri dan dengan yang demikian dia dapat bersedekah.” (Hadis riwayat Ahmad)

Bahkan Allah SWT dengan amat terang dan nyata menjelaskan di dalam al-Quran dengan firman-Nya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, sehinggalah mereka sendiri yang berusaha mengubah apa yang ada pada diri mereka.” (ar-Raa’du: 11)

Maka, adalah menjadi satu kewajipan kepada setiap penerima zakat untuk berusaha mengubah keadaan diri mereka. Institusi zakat hanya mampu menyediakan prasarana atau ‘alat-alat’ yang sifatnya ‘membantu’. Segala bantuan itu, misalnya bantuan pendidikan anak-anak, bantuan perumahan dan bantuan perniagaan, adalah ibarat joran dan mata kail serta umpan yang sepatutnya digunakan oleh para asnaf untuk mendapatkan lebih banyak ikan.

Dari satu aspek lain pula, beban dan peranan merubah pemikiran para penerima bantuan zakat ini, tidaklah wajar dibebankan hanya ke atas bahu institusi zakat semata-mata. Bahkan, seluruh umat Islam mempunyai saham masing-masing demi menjana perubahan ini. Misalnya, jika kebetulan asnaf zakat itu tinggal di sesebuah taman perumahan atau kampung, maka pihak yang berautoriti dan kejiranan di kawasan berkenaan sewajarnya berganding bahu memantau perkembangan asnaf berkenaan.

Misalnya, jika pihak institusi zakat memberikan bantuan modal, enjin sangkut, pukat dan bot bagi nelayan misalnya, adakah ia benar-benar dimanfaatkan demi mencari ikan. Begitu juga, adakah anak-anak yang diberikan bantuan pendidikan, mereka diberikan peluang pendidikan yang baik oleh ibu bapanya, misalnya tidak disuruh pula melakukan kerja-kerja rumah yang berlebihan, membantu kerja harian dan sebagainya sehingga mengganggu proses pembelajaran.

Hal ini jika dapat dilakukan, bukan sekadar membantu mempercepatkan proses perubahan diri asnaf zakat, bahkan berupaya mengekang daripada berlakunya gejala menyalah guna bantuan dan sebagainya yang mungkin boleh terjadi.

Pendek kata, usaha ini adalah selaras dengan kehendak Islam. Firman Allah SWT: “Dan bertolong-bantulah kamu dalam perkara kebajikan dan takwa; dan jangan kamu bertolong bantu dalam kejahatan dan dosa.” (al-Maaidah: 2)

Kesimpulannya, usaha merubah kehidupan asnaf memerlukan komitmen semua pihak. Bantuan zakat sememangnya bersifat sementara, melainkanlah jika asnaf yang menerima itu sudah tua dan uzur serta kurang keupayaan pula untuk berubah, maka sudah sewajarnya mereka dijaga dengan baik oleh institusi zakat yang juga merupakan elemen kebajikan pemerintahan di dalam sesebuah negara yang bertanggungjawab menjaga maslahah rakyatnya. Wallahua’lam.