Oleh: Ima Syuhada Ismail
Pegawai Zakat, LZS (MAIS)
Jelas, bahawa zakat adalah suatu komponen penting yang dianjurkan oleh Islam untuk membela fakir dan miskin. Namun, hakikatnya ia bukanlah penyelesaian total kepada kemelut kemiskinan yang melanda. Zakat hanya berperanan sebagai pelengkap, yang penting adalah usaha asnaf sendiri untuk berkerja dan seterusnya mengeluarkan diri mereka daripada belenggu kemiskinan.
Asnaf yang positif akan merebut peluang dengan penuh keazaman – Foto hiasan
Sungguhpun pelbagai bantuan disediakan, namun jika sikap asnaf yang masih terus mengharapkan bantuan tanpa berusaha, apa yang dirancang tidak menjadi. Kedangkalan sesetengah asnaf yang menganggap zakat itu adalah hak mutklak mereka, sebenarnya sedikit sebanyak membantutkan usaha LZS ke arah mentransformasi asnaf.
Senario ini tidak hanya berlaku di LZS, tetapi turut sama berpusar di pusat-pusat zakat negeri lain. Malah, apa yang lebih mendukacitakan apabila ada fakir dan miskin yang gemar menzahirkan kemiskinan mereka dengan harapan mudah untuk dapat bantuan zakat. Perlu difahami, Islam sebenarnya tidak menyukai sifat suka meminta-minta, sehinggakan Rasulullah SAW menyatakan, bahawa golongan yang menyembunyikan kefakiran dan kemiskinan mereka itulah yang lebih berhak untuk dibantu dengan zakat.
Namun apa yang terjadi sekarang ini ialah ada kalangan manusia yang fakir dan miskin dan menjadikan status kefakiran dan kemiskinan itu sebagai tiket untuk meraih simpati sesama manusia. Seterusnya menjadi alasan bagi mendapatkan zakat dengan mudah tanpa perlu bekerja.
Sudah sampai masanya untuk LZS bertegas dengan golongan seperti ini kerana zakat bukanlah pendapatan sebaliknya adalah bantuan bersifat sementara. LZS tidak mahu melahirkan asnaf yang reda dengan kemiskinan mereka. Hanya menunggu bantuan zakat tiba tanpa perlu berusaha.
Biarpun ia memakan masa, usaha mendidik asnaf ini akan menjadi objektif utama LZS. Impian LZS ialah melahirkan golongan asnaf yang mempunyai jati diri untuk mentransformasikan diri mereka. Dalam erti kata lain, mentransformasikan asnaf dari seorang mustahik (orang yang menerima zakat) kepada muzakki (orang yang mengeluarkan zakat). Ia bukanlah mudah, namun insya-Allah bukan suatu yang mustahil!