PENAMPILAN ISTIMEWA PELAJAR SEMPENA HARI ANUGERAH ANAK ASNAF CEMERLANG 2010

0
389

Nota: Dibicarakan pada 7 Mei 2011 di Intekma Resort, Shah Alam

Beliau datang dari Sungai Besar, Selangor. Dibesarkan di sebuah kampung Melayu yang damai dan menenangkan hati. Dilatari kehijauan sawah padi dan kebiruan langit. Hembusan bayu sawah yang mendamaikan. Di situ dia membesar penuh kebugaran.

Di sisi ibunya, Hamidah Mohd. Nor, 53, seorang ibu tunggal berjiwa kental, beliau dan enam adik-beradiknya yang lain dibesarkan tanpa kehadiran sang ayah. Allah SWT lebih menyayangi bapa mereka, Aliah bin Rani, yang pergi tanpa duga. Namun, pesanan si ayah dijadikan azimat lalu mereka bingkas mencipta sejarah penuh hikmat.

Oleh itu, hari ini, salah seorang anak Hamidah dan Aliah, dijemput untuk tampil berkongsi secebis kisah kejayaannya. Beliau adalah Fatimah bt Aliah, 22 yang terus mengharumkan nama keluarganya. Fatimah memperolehi keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2001 dengan pangkat 5A, Ujian Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 2004, dengan kedudukan 8A dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2006 dengan keputusan 10A.

Fatimah pernah melanjutkan pelajarannya ke Universiti Charles Republic Chev dari tahun 2008 hingga 2009 sebelum melanjutkan pengajiannya dalam bidang farmasi di Universiti Teknologi Mara hingga kini.

Untuk melihat sendiri wajahnya dan mendengar sendiri celotehnya, majlis dengan sukacitanya mempersilakan Saudari Fatimah binti Aliah untuk tampil ke atas pentas. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

Bicara hati Fatimah binti Aliah:

“Alhamdulillah, buat permulaan bicara, saya ingin mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT. Berkat keizinan-Nya, maka saya dapat hadir ke sini pada hari ini. Keduanya, ucapan penghargaan buat kekasih hati saya, ibunda tercinta Hamidah Mohd. Nor, ibu yang menjadi sumber inspirasi saya selama ini. Buat arwah bapa juga, moga dicucuri rahmat Illahi. Ketiganya, sekalung terima kasih kepada Lembaga Zakat Selangor, kerana telah memberikan pelbagai sokongan kepada kami sekeluarga selama ini.

“Tiada apa yang istimewa kepada kami sekeluarga. Kami, adalah manusia seperti orang lain. Namun, apa yang saya fikir membezakan kami sekeluarga ialah kesungguhan dalam meraih kejayaan.

“Ibu saya, adalah wanita yang paling banyak berjasa kepada kami adik-beradik. Ibu pernah menceritakan, setelah kematian ayah pada tahun 2000, ibu melahirkan adik yang ketujuh, iaitu tiga bulan selepas ayah pergi menemui Illahi. Saya tidak mampu membayangkan perasaan ibu. Tetapi saya tahu, ibu berusaha memberikan yang terbaik kepada kami anak-anaknya.

“Saya tahu, ibu pernah menjadi tukang masak demi membesarkan kami. Hinggalah LZS datang kemudiannya, maka kehidupan kami kian berubah. LZS memberikan kami pelbagai peluang dalam kehidupan. Alhamdulillah, berkat dorongan daripada LZS juga, adik-beradik saya semuanya sudah Berjaya.

“Abang saya, Mohamad Hatta kini adalah jurutera lulusan dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka dalam bidang Elektronik Industri. Kakak saya, Farhana kini seorang guru lulusan pendidikan dari Universiti Putra Malaysia dalam bidang Sains Fizik. Abang ketiga saya, Hidayat juga seorang jurutera lulusan dari Universiti Teknologi Petronas dalam bidang Kejuruteraan Kimia. Adik saya, Hisyamudin kini masih menuntut di Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Perak dalam tingkatan lima. Adik keenam saya, Haikal kini menuntut di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak. Tinggal adik saya yang ketujuh, Hilman masih bersama ibu belajar di sekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Makmur, Sg. Besar.

“Saya tahu, ibu sangat taat memegang pesanan arwah ayah. Ibu pernah berkata, arwah ayah semasa hayatnya pernah berpesan, agar anak-anaknya menjadi manusia yang berguna kepada negara dan agama. Ayah mengangan-angankan, setiap orang daripada kami bakal memilih kerjaya yang berbeza-beza, ada yang menjadi doktor, pensyarah, jurutera, peguam dan sebagainya. Alhamdulillah, nampaknya anak-anak ayah kini masing-masing menekuni bidang yang diminati.

“Emak sering memotivasikan kami anak-anak dengan kata-kata nasihat yang positif. Emak mahu agar kami membandingkan kehidupan masa kini dengan apa yang bakal kami perolehi pada masa hadapan. Jika kami rajin berusaha, insya-Allah hidup akan menjadi lebih mudah. Jika tidak, kami akan meneruskan segala kepayahan ini. Itulah nasihat yang tertanam di dalam jiwa kami anak-anak emak sejak dahulu lagi.

“Bagi saya, kejayaan mesti datang dari diri sendiri. Kita mesti merebut setiap peluang yang datang. Allah SWT pasti akan membantu kita, andai kita sendiri berusaha mengubah kesusahan kepada kesenangan. Saya yakin, semua orang boleh mencipta kejayaan jika mereka memang menginginkannya.”