DOBI POINT MEMBANTU ROHAYA

0
672

Tarikh : 2/12/2010
Penulis : Hamizul Abdul Hamid

“Persaingan memang ada. Tapi saya utamakan servis kepada pelanggan. Maklumlah, hari ini kedai dobi makin banyak dibuka di mana-mana.”
Demikianlah prinsip perniagaan Puan Raja Rohaya Raja Anuar, 51 yang kini mengusahakan kedai Dobi Point di bawah Skim Bantuan Modal Perniagaan, Lembaga Zakat Selangor (LZS). Beliau mengorak langkah menjadi perintis kepada kedai dobi pertama milik asnaf zakat di bawah LZS di Selangor.

Kali ini, beliau akan berkongsi kisah kejayaannya untuk dijadikan iktibar bersama, khususnya kepada kalangan ibu tunggal. Sesungguhnya, status diri tidak menjadi penghalang kemajuan; jika diri sendiri tegar mencorak visi dan misi masa hadapan.
“Saya dilahirkan di Singapura. Namun, saya membesar dan menetap di Selangor sudah lebih 30 tahun. Alhamdulillah, daripada perkahwinan dahulu saya dikurniakan lima orang anak. Lelaki semuanya. Kini, anak-anak saya pun sudah besar, mereka jugalah yang kini membantu saya dalam menguruskan kedai dobi ini.

“Jika boleh, saya enggan mengenang kembali kesusahan hidup saya pada masa dahulu. Biarlah ia berlalu. Susahnya hanya Tuhan yang tahu. Hakikatnya, susah sekali hidup saya masa itu.”
Rohaya pernah terpaksa memasukkan tiga orang anaknya ke asrama anak-anak yatim, justeru beliau tidak mampu menyara mereka. Bahkan beliau dan anak-anak pernah duduk menumpang di rumah saudara, kerana rumah sendiri hampir dilelong pihak bank dek kerana ansuran bulanannya tidak mampu dilunaskan.

“Semasa itu, saya hanya menjaga dua orang anak yang kecil sahaja. Namun Alhamdulillah, kami masih ada makanan untuk mengalas perut. Ini kerana, kala itu, saya mendapat bantuan makanan bulanan daripada LZS. Jadi, tidaklah sampai anak-anak tidak dapat makan. Cuma, tidaklah kami dapat makan seperti orang lain. Ala kadar sahajalah.”
Demi meneruskan kehidupan dan demi masa hadapan anak-anaknya, Rohaya sanggup melakukan apa sahaja kerja asalkan halal. Bahkan Rohaya sekeluarga juga sudah menerima bantuan zakat sejak tahun 1998 lagi.
Di samping bantuan makanan bulanan, beliau juga pernah menerima bantuan modal perniagaan. Rohaya pernah mencuba berniaga di Plaza Alam Sentral dan kala itu, LZS telah meluluskan RM5,000.00 bagi modal permulaan. Namun, perniagaannya tidak berjaya.

“Alhamdulillah, pada tahun 2006, LZS telah menawarkan saya satu lagi peluang perniagaan, iaitu membuka kedai dobi dengan modal RM50,000.00. Daripada apa yang saya tahu, saya adalah antara individu yang terpilih dalam projek perintis ini. Semasa itu, di samping kedai dobi ada lagi beberapa perniagaan bermodal besar yang akan dilaksanakan oleh LZS untuk asnaf.
“Memang, jika difikirkan saya langsung tiada pengalaman berniaga dalam skala yang besar. Apatah lagi perniagaan kedai dobi. Namun, saya memberanikan diri kerana LZS sentiasa sedia membantu. Lagi pun, peluang sudah tersedia maka apa ruginya saya mencuba. LZS juga mensasarkan, selepas lima tahun saya akan mampu menguasai 100 peratus perniagaan ini.

“Buat permulaan, LZS telah menghantar saya mengikuti beberapa siri kursus. Di antaranya, Kursus Keusahawan, Kursus Pemasaran dan Kursus Perakaunan. Cuma saya tidak dapat mengikuti kursus khas menguruskan kedai dobi, kerana kosnya memang mahal.
“Demi menambahkan ilmu dan keyakinan dalam menguruskan kedai dobi, saya tidak segan-silu untuk bertanya kepada mereka yang sudah lama dalam bisnes kedai dobi. Saya korek rahsia menguruskan kedai dobi daripada mereka, misalnya sabun dan bahan kimia apa yang sesuai dan sebagainya lagi. Alhamdulillah, akhirnya saya memahami banyak perkara dalam selok-belok menguruskan kedai dobi ini.”

Menyentuh mengenai perniagaannya, Rohaya menjelaskan sejak 2006 hingga kini, perniagaannya makin baik. Natijahnya, kehidupan beliau sekeluarga juga makin terjamin. Anak-anaknya pun dapat menghabiskan pengajian di peringkat IPT dengan baik. Baru-baru ini, anak keempatbeliau baharu sahaja menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara dan anak ketiga pula di Institut Kemahiran Belia Negara.

“Saya lebih suka memfokuskan perniagaan dobi ini kepada pelanggan tetap, iaitu daripada institusi. Saya mengambil kontrak mencuci pakaian daripada kilang-kilang dan asrama pelajar. Di sini bayarannya lebih terjamin. Namun begitu, pelanggan harian tetap saya layan dengan baik. Bagi saya, dengan bertambah banyaknya kedai dobi di sekitar ini, maka servis yang membezakan kedai dobi saya ini dengan lain-lain kedai dobi.

“Bagi pelajar, tidak kiralah mereka pelajar sekolah atau IPT, saya hanya mengenakan caj RM2.20 bagi sekilo gram pakaian. Manakala bagi orang biasa, kosnya RM2.50 bagi sekilo gram dan kos ini bermula dari cucian sehinggalah melipat. Sementara itu, caj menyeterika pakaian pula, saya hanya kenakan RM1.50 sehelai. Tetapi jika banyak, adalah diskaunnya saya berikan.
Rohaya bercita-cita satu masa nanti beliau akan tampil menunaikan zakat sebagai bukti kejayaannya dalam perniagaan. Bahkan, apabila mengenangkan kembali hikmah di sebalik kesusahan yang menimpa dirinya, beliau tidak menolak bahawa antara hikmahnya, beliau kini sudah pun bergelar usahawan dobi.
Katanya, boleh jadi jika beliau tidak diuji dengan kesusahan ini, maka beliau tidak akan kenal dengan LZS dan tiadalah sebab bagi LZS membantunya sehingga boleh berjaya seperti kedudukannya pada hari ini.

“Saya sebenarnya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pembayar zakat. Dengan sebab mereka berzakat, maka golongan yang memerlukan dapat dibantu. Sebenarnya, zakat itulah yang membantu golongan asnaf, agar mereka dapat berubah, keluar daripada kemiskinan dan akhirnya dapat hidup bahagia seperti mana orang-orang lain juga.”

Nota: Kedai Dobi Point milik Rohaya dapat dikunjungi di 2-G-9, Wisma MAIS, Lot 2, Jalan RU 3/9A, Sek. 3, 40000 Shah Alam, Selangor. Tel: 03-55114377.