ZAKAT MEMBANTU FAIZAL

0
283

Tarikh : 10/14/2010
Penulis : Hamizul Abdul Hamid

SEKITAR tahun 2007, kala berkunjung ke Desa Kasih Merbau Berdarah di Sungai Besar, Selangor penulis sempat berkenalan dengan lelaki ini. Beberapa tahun berlalu, kali ini penulis bersua lagi dengannya di Shah Alam, Selangor.

Beliau tetap lembut dan mesra. Senyuman selalu teroles di wajahnya. Beliaulah saudara baru kita, Faizal Clement Abdullah, 49, yang bakal berkongsi cerita lewat Jejak Asnaf pada kali ini.

“Alhamdulillah, penghujung 1984, saat niat saya mahu memeluk Islam sampai kepada pengetahuan keluarga di Sabah. Mereka tidak marah apatah lagi melatah. Ayah saya, adalah orang kanan di gereja. Namun hati dan fikiran beliau amat terbuka.

“Kini, kedua-dua ibu bapa saya sudah meninggal dunia. Saya masih mempunyai tiga adik-beradik di sana. Selain daripada saya yang memeluk Islam, abang sulung saya juga memeluk Islam. Namun, beliau juga sudah meninggal dunia,” katanya.

Demikianlah Faizal berkongsi kisah silam. Daripada keredupan wajah siapa menyangka ujian hidup yang getir pernah menyapa dalam liku kehidupannya.

Faizal merantau ke Semenanjung Malaysia sekitar tahun 1983 bagi melanjutkan pendidikan di Institut Kemahiran Mara (IKM). Di IKM, dia mengambil kursus menjahit.

Bayu hidayah menyapa hatinya penghujung 1984. Tidak lama kemudian, penghujung 1985 beliau melangsungkan pernikahan dengan Rozita Abdullah, 46, dan kini mereka bahagia meniti hari-hari mendatang bersama enam cahaya mata.

“Jangan salah sangka, isteri saya orang Tanjung Karang dan dia bukanlah mualaf seperti saya. Kebetulan sahaja nama ayahnya Abdullah.” Sempat Faizal berjenaka.

Setelah menuntasi pengajian kemahirannya di IKM, Faizal terlebih dahulu berkerja di anak syarikat MARA Holding yang dikenali Puspa MARA sebelum memasuki dunia perniagaan.

“Saya mula menjalankan perniagaan kedai jahitan pada tahun 1994. Setelah beroperasi beberapa tahun, memang menampakkan kemajuan. Saat itu, saya berniaga di Ulu Klang. Saya ada 12 orang pekerja. Sehinggalah ekonomi Malaysia merudum pada tahun 1997. Kala itu, perniagaan saya turut menerima tempiasnya.

“Saya terpaksa menutup syarikat. Kemudian saya menerima tawaran berkerjasama dengan sebuah yayasan dan bertugas sebagai pengurus jahitan. Di situ, saya dapat bertahan selama tiga tahun,” jelas Faizal.

Kini dengan bantuan LZS, Faizal kembali membangunkan perniagaannya.

Hasil daripada kerja keras itu dia kini kini sudah pun menjadi pembayar zakat perniagaan di LZS. Di samping itu, dia juga kini turut membantu kehidupan asnaf yang lain dengan menggajikan enam orang pekerja di kedai jahitannya yang terdiri daripada asnaf zakat.

“Terima kasih di atas bantuan LZS selama ini,” ujarnya penuh makna.

Demikianlah sedikit perkongsian kisah seorang saudara baru yang menelusuri kehidupannya dengan disantuni sedikit daripada wang zakat. Amat besar pahala bagi mereka yang membantunya. Ia bukan sekadar mencerminkan keindahan Islam melalui zakat, bahkan menambahkan keyakinan beliau bahawa tidak salah memilih Islam sebagai jalan kehidupannya. Wallahua’lam.

Nota: Untuk lawatan dan membuat tempahan pakaian, Faizal Clement Abdullah boleh dihubungi di Izal Classic Enterprise, No. 17, IKS Merbau Berdarah, Sungai Panjang, Sungai Besar, Selangor. Tel: 019-603 3225