Tarikh : 7/20/2010
Penulis : Hamizul Abdul Hamid
Syurga dan neraka termasuk dalam perkara ghaib dan ‘sam’iyat’ yang wajib kita beriman kepadanya. Allah SWT menukilkan ratusan kali perihal syurga dan neraka, agar manusia merasa terpanggil untuk membuat amal sebagai bekal ke sana. Amal baik bekal ke syurga, meninggalkan amal buruk pula sebagai modal dijauhkan daripada neraka.
Pada musim Israk dan Mikraj ini, maka kita kembali diseru agar menghayati kronologi perjalanan Nabi Muhammad SAW ke langit hingga melepasi Sidratul Muntaha. Nabi SAW ditemani Jibril a.s, sahabat langit yang setia. Mereka melewati pelbagai jenis tempat dan bertemu pelbagai jenis manusia. Kemuncaknya, Nabi SAW dianugerahi Allah SWT hadiah berupa solat. Solat itulah waktunya kita berbisik-bisik dan berbual-bual dengan Allah SWT secara penuh ‘privasi’– itu pun andai kita memahami maksud apa yang kita sebut dan baca di dalamnya.
Namun, penulisan ini tidak berniat untuk mengupas perihal solat. Insya-Allah, pada lain kesempatan kita akan mengupasnya. Sesungguhnya, ada sesuatu yang lain, yang tidak kurang menarik untuk kita perhatikan lewat peristiwa Mikraj Nabi SAW ke langit. Itulah saat nabi dibawa oleh Jibril a.s menziarahi syurga dan neraka. Maka, apa yang nabi perhatikan di sana?
Daripada Ibnu Abbas dan ‘Imran bin Hussain r.a, bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: “Aku melihat ke dalam syurga, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada kalangan orang-orang fakir miskin. Dan (apabila) aku melihat ke dalam neraka, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada golongan perempuan.” (Hadis riwayat Muttafaqun ‘alaih)
Sesuatu yang perlu dikaji, kenapakah di dalam syurga ramai kaum fakir dan miskin? Di mana orang kaya? Menurut ilmu lughah atau Bahasa Arab, dalam konteks yang sama kita diberitahu perkara sebaliknya iaitu disebut mafhum mukhalafah (makna di sebaliknya), iaitu tidak ramai orang kaya di syurga. Aduhai, di mana orang kaya? Apa pula kelebihannya si fakir dan miskin sehingga mereka pula yang meramaikan syurga?
Inilah senario yang kena kita perhalusi bersama. Adakah Islam begitu memuliakan orang-orang fakir dan miskin sehingga di dunia ini kita wajar memilih untuk menjadi orang miskin dan hidup dalam papa kedana? Pada masa yang sama, adakah kita diberitahu bahawa kita hendaklah menjauhi kekayaan dan menolak kebendaan?
Jika demikian keadaannya, bukankah Islam juga menyeru kepada kita agar mencari kebendaan dan nikmat duniawi? Bukankah Islam amat menegah kehidupan yang meninggalkan keduniaan ala pertapaan (yang kononnya hidup menjamah bertih beras empat purnama lamanya)?
Bukankah Allah SWT sendiri menegaskan: “Kemudian setelah selesai (kamu) mendirikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing); dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah…,” (al-Jumu’ah:10)
Terdapat banyak lagi ayat al-Quran mahu pun saranan daripada sunnah Rasulullah SAW, agar umat Islam hidup dalam kekayaan. “Tdak dianggap baik orang yang meninggalkan dunianya kerana akhirat, dan tidak juga orang yang meninggalkan akhiratnya kerana dunianya.Sehinggalah mereka memperolehi kedua-duanya sekali,” jelas nabi melalui riwayat Ibnu ‘Asakir. Jadi, adakah berlaku suatu kontradiksi di sini?
Hakikatnya, tiada pertentangan sama sekali. Jika kita merenung kepada mafhum hadis di atas, bahawa ramainya orang miskin di syurga, maka ada sesuatu yang patut kita pelajari daripadanya. Iaitu, jika orang kaya mahukan syurga, maka mereka mestilah berhati-hati dalam mengendalikan harta kekayaannya. Misalnya, wajib dilunasi zakat hartanya, diringi pula sedekah kepada sesama manusia. Baharulah harta itu tidak menjadi bebanan di akhirat sana.
Dalam konteks yang lain, orang-orang miskin memang patut dianugerahi Allah SWT kelebihan di akhirat, kerana sejak di dunia lagi mereka sudah begitu banyak bersabar menahan ujian kesusahan. Mereka selalu kelaparan kala orang kaya kekenyangan, mereka hidup serba kepayahan kala orang kaya dalam dakapan kesenangan dan mereka banyak berkorban kala si kaya menikmati pelbagai kelebihan. Kita ambil contoh dalam majlis kenduri sahaja sudah memadai, siapakah dianggap VIP,si miskin atau si kaya?
Justeru, itulah senarionya di dunia ini. Si kaya hidup mereka sering diulit kemewahan; si miskin digayuti kesengsaraan. Maka tidak peliklah mereka diberikan ganjaran berupa syurga oleh Allah SWT, sebagai imbalan terhadap kesabaran mereka di dunia ini. Dengan syarat mereka menjadi si fakir yang taat dan si miskin yang ahli ibadat. Jika mereka taat, sabar dan kuat imannya, percayalah, mereka akan memasuki syurga Allah SWT 500 tahun lebih awal* berbanding dengan orang-orang kaya di dunia ini yang pasti sahaja banyak hisabnya di akhirat sana. Wallahua’lam.
* (Mafhum hadis riwayat at-Tirmizi daripada Abu Hurairah r.a).
Sumber: Utusan Jawi/05/07/2010