LZS BANTU ROHANA BERDIKARI

0
187

Tarikh : 6/24/2010
Penulis : Hamizul Abdul Hamid

KERIUHAN pagi di Pasar Selayang Baru amat menghidupkan suasana. Para penjual masing-masing sibuk dengan jualan. Ada yang memekik, ada pula yang membuat pelbagai gaya suara demi memikat pelanggan.

Dalam keriuhan itulah, penulis ditemani seorang Pegawai Agihan Zakat Selayang melangkahkan kaki menemui penerima bantuan zakat, Rohana Razali, 47, bagi slot Jejak Asnaf pada kali ini.

Rohana, seorang ibu tunggal yang tidak tega menyerahkan nasibnya pada takdir Allah SWT semata-mata tanpa usaha.

Dia bangkit daripada kesusahan setelah melalui pahit-getir sebuah perceraian. Bersama tiga anak penguat semangat, Rohana tekad meneruskan tatih hayat.

“Saya memang asal orang Lembah Klang. Namun, setelah mendirikan rumah tangga, saya mengikut bekas suami ke Kedah.

“Hasil perkahwinan itulah, saya dikurniakan tiga orang zuriat, lelaki semuanya.

“Anak pertama saya, Mohammad Ikhwan, 19, kini sedang belajar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dalam bidang grafik dan multi media. Alhamdulillah, beliau mendapat bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Anak kedua saya, Muhammad Iqmal, 16, dan anak ketiga pula, Muhamad Saiful Mizan, 15. Kedua-duanya kini sedang belajar di Sekolah Menengah Sengai Kertas.,” cerita Rohana serba sedikit perihal keluarganya.

Rohana kembali ke Selangor kira-kira lapan tahun dahulu dan mencuba pelbagai cara demi mencari rezeki. Maklumlah, anak-anak berada di sisi dan tanpa nafkah daripada suami, maka semuanya digalas seorang diri.

“Setelah berpindah semula ke Selangor, saya menumpang di rumah saudara. Masa itu, saya pernah bekerja kilang; tapi tidak lama. Mungkin sudah rezeki saya di Selayang Baru, tidak lama kemudian saya dilamar oleh seorang kawan untuk membantu peniaga berjualan makanan di pasar ini.”

Lalu, sejak lima tahun lalu, Rohana setia menjadi pekerja di gerai menjual soto, mi rebus dan bubur lambuk.

“Di gerai makan ini, saya diberikan gaji harian RM25 sehari. Alhamdulillah, dengan gaji itulah saya menampung perbelanjaan saya sekeluarga,” ujarnya.

Mengimbau kembali saat awal perceraian, Rohana berkata dia hilang arah. Jiwanya kacau dan fikirannya galau.

“Saya hilang arah semasa itu. Tak tahu apa nak buat. Mujurlah berkat sokongan keluarga, khususnya kakak saya, maka saya dapat menerima keadaan ini sedikit demi sedikit.

“Kebetulan kakak ipar saya mendapat rumah baharu. Maka beliau menawarkan rumah di tanah rezab Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dibinanya kepada saya. Rumah itu memang betul-betul berdekatan pencawang TNB dan amat uzur.

“Jika hari hujan kami anak-beranak terpaksa berlindung di bahagian hadapan rumah kerana atapnya banyak yang bocor. Dinding pun sudah reput dan terkopak di sana-sini. Bahkan pernah seekor ular tersesat masuk ke dalam bilik air. Akhirnya ada pihak yang sudi membantu dan merekalah yang menolong menggantikan apa-apa yang patut.

“Alhamdulillah, berkat adanya pekerjaan ini, maka saya dapat mengatur kembali perjalanan hidup saya. Tidak keterlaluan saya katakana, bahawa bantuan zakat juga adalah antara perkara yang amat besar kesannya dalam hidup saya. Ia memberikan saya semangat untuk memulakan langkah pertama saya,” terangnya.

Katanya, jika tiadalah bantuan daripada LZS sudah pasti impian anak sulungnya untuk belajar ke hingga universiti akan terhalang.

Sebab itu dia amat bersyukur dan berterima kasih kepada LZS kerana berkongsi menanggung beban yang dipikulnya selama ini.

“Kepada para pembayar zakat, sesungguhnya zakat yang dihulurkan itulah yang banyak menolong saya dan ramai lagi orang lain yang memerlukan. Saya doakan ke hadrat Allah SWT semoga semua pembayar zakat diberkati pendapatan mereka. Jika mereka berniaga, dimajukan lagi dari semasa ke semasa, agar mereka dapat terus berzakat demi kepentingan semua,” doa Rohana.