165 PELAJAR ASNAF LEPASAN SPM SERTAI SEMINAR PELAJAR HARAPAN

0
315

SHAH ALAM, 6 Mei 2014 – Seramai 165 orang pelajar asnaf fakir dan miskin lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyertai Seminar Pelajar Harapan Lepasan SPM anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) bertempat di Auditorium Management & Science University (MSU). Majlis perasmian disempurnakan oleh Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid di sini hari ini.

Seminar ini mensasarkan lepasan SPM yang mendapat keputusan kurang memberangsangkan antara tiga kredit dan ke bawah dan tidak dapat menempatkan diri ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Melalui seminar tersebut, para pelajar diberi pendedahan tentang peluang melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran dan industri yang sesuai dengan minat dan keputusan peperiksaan yang diperoleh.

Seminar ini turut mendapat kerjasama dari Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia.

Salah seorang peserta yang ditemui, Asrul Naim Abidin, 18 tahun, menyambut baik usaha dilakukan LZS dengan mengadakan seminar seperti ini. “Ia banyak membantu saya untuk memilih pengajian yang sesuai dengan minat. Saya meminati bidang automotif dan merancang untuk menyambung pelajaran dalam bidang tersebut. Oleh itu, melalui seminar dan pameran yang diadakan ini dapat memberi maklumat jelas tentang bidang yang ingin saya ambil nanti.”

Hadir sama, Presiden MSU, Profesor Dato’ Wira Dr. Mohd Shukri Abdul Yajid, Timbalan Pengarah Jabatan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, Kamaludin Tomiran dan Timbalan Pengurus Besar Agihan, Abdul Basith Hamid.