10 USAHAWAN ASNAF TERIMA MOTOR RODA TIGA

0
979
SEKINCHAN, 12 April 2014 – Inovasi pengagihan zakat diperluaskan dengan projek perintis program usahawan motor roda tiga apabila Lembaga Zakat Selangor (LZS) melalui MAIS Zakat Sdn Bhd menyalurkan bantuan zakat bernilai RM168,000.00 kepada 10 orang usahawan asnaf fakir dan miskin di sini hari ini.

Setiap seorang asnaf akan menerima motor roda tiga yang bernilai RM16,800.00 sebuah, selain modal pusingan dan kelengkapan perniagaan. Bantuan ini merupakan peruntukan zakat yang disalurkan di bawah Program Pembangunan Ekonomi.

Mereka yang menerima bantuan hari ini, terdiri daripada penjaja atau peniaga menjalankan perniagaan berskala kecil di mana kebiasaannya berniaga di tepi-tepi jalan mahupun pasar malam. Setelah melalui proses saringan, hanya asnaf fakir dan miskin yang berpotensi dan memenuhi syarat-syarat layak menerima bantuan tersebut. Dengan adanya bantuan ini, memberi kemudahan untuk usahawan asnaf mengembangkan lagi aktiviti perniagaan seterusnya meningkatkan pendapatan mereka.

Bantuan ini diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof. Hadir sama, Setiausaha Majlis Daerah Sabak Bernam, Awaluddin Zakaria, Pegawai Belia Masyarakat Daerah Kuala Selangor Razali Abdul Mayas dan Timbalan Pengurus Besar Agihan, Abdul Basith Hamid.