154 PELAJAR BAITUL HASANAH SERTAI PROGRAM ‘KAMI SMART, KAMI YAKIN’

0
373

KLANG, 10 Mac 2014 – Seramai 154 orang pelajar asnaf fakir dan miskin Baitul Hasanah menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Kami Smart, Kami Yakin’ anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) bertempat di Kompleks Baitul Hasanah, Klang baru-baru ini.

Program sehari ini mengetengahkan segmen penjagaan diri dan gaya penampilan bertujuan melahirkan para pelajar asnaf yang cintakan kebersihan dan kesihatan, sekali gus membina keyakinan dalam mereka.

Menurut Ketua Sektor Komunikasi Korporat LZS, Norajun Ainun Mohd Hashim, “Program CSR hari ini merupakan program pertama untuk tahun 2014. Ia merupakan susulan daripada siri-siri program CSR bersama pelajar Baitul Hasanah yang diadakan sebelum ini. Hasrat kami ialah melalui program ini para pelajar di sini dapat mempraktikkan apa yang disampaikan. Ini secara tidak langsung melatih diri mereka untuk sentiasa mengamalkan penampilan diri yang lebih kemas dan berkeyakinan.”

Salah seorang pelajar yang ditemui semasa program, Siti Nurul Izzati Abdul Halim, 13 tahun berkata, “Saya seronok dapat mengikuti program ini kerana banyak ilmu bermanfaat yang saya peroleh. Kami diajar tentang cara yang betul untuk membersihkan diri bermula daripada penjagaan rambut sampailah kaki. Insya Allah, saya akan amalkan apa yang diajar ini.”

Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada syarikat Pernec Corporation Berhad yang menyumbangkan set peralatan kelengkapan peribadi kepada para pelajar di sini.