LZS LANCAR KEMPEN ‘LIKE FB LZS’ DEKATI GENERASI MUDA

0
186

SHAH ALAM, 4 April 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melancarkan kempen ‘Like FB LZS’ di kampus utama Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Kempen dilancarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

Kempen ‘Like FB LZS’ ini antara lain, bertujuan untuk meningkatkan jumlah peminat ‘facebook LZS’ kepada 7,000 orang dalam tempoh tiga bulan. Facebook LZS telah diwujudkan sejak April 2011 dengan memfokuskan dakwah zakat kepada generasi muda dan setakat ini, terdapat 3,699 orang yang menyatakan ‘like’.

Sempena kempen ‘Like FB LZS’ ini juga, setiap pemilik akaun facebook yang mengklik butang ‘like’ dan menjadi ‘fan’ di ‘facebook LZS’ serta memuat naik gambar kreatif berkaitan zakat, secara automatik berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik termasuklah tablet iPad 2. Kempen ini bermula 1 April hingga 30 Jun 2012.

Kempen ‘Like FB LZS’ ini merupakan sebahagian daripada pengisian Program ‘Semua Mesti Ada Rasa Tanggungjawab Pada Agama dan Zakat’ atau ringkasnya SMART A to Z, iaitu satu program dakwah kepada kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), yang antara lain memuatkan acara hiburan Islami, kuiz dan bual bicara bersama ustaz selebriti. Bagi program hari ini, turut ditampilkan ialah kumpulan Nasyid Ariff dan Ustaz Don Danial Don Biyajid.

Program SMART A to Z ini juga merupakan strategi Dakwah Zakat Didik, yang bertujuan mendekati golongan sasar dalam kalangan pelajar. Matlamatnya, antara lain untuk memberi kesedaran awal, kefahaman dan juga maklumat zakat kepada golongan remaja. Ia juga dapat membiasakan golongan muda dengan pelbagai isu zakat, di samping dapat merapatkan hubungan LZS dengan seluruh IPT di Selangor.

Sementara itu, tinjauan yang dilakukan dalam kalangan audiens mendapati, program ini amat menarik dan bermanfaat untuk diketengahkan kepada para pelajar IPT. Misalnya, Nur Ain Rani, pelajar Diploma Kejuteraan Elektronik berkata, program yang dianjurkan oleh LZS ini telah memberikan pendedahan awal tentang kewajipan berzakat kepada golongan muda agar mereka membayar zakat apabila sudah bekerja nanti.

“Ia juga dapat menyedarkan tanggungjawab saya sebagai umat Islam untuk menunaikan rukun Islam dan saya berharap LZS dapat menyebarluaskan program seperti ini pada masa akan datang,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Mohd Sharoni Ismail dan Pengurus Besar Kutipan LZS, Sahadan Ishak.