OPS JEJAK KEMISKINAN DITERUSKAN DI KLANG

0
313

Klang, 5 Mac 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus menjejaki golongan fakir dan miskin melalui program Ops Jejak Kemiskinan di tiga lokasi berlainan dengan tiga tarikh berbeza di daerah Klang. Operasi ini adalah kesinambungan program Ops Jejak Kemiskinan pada tahun lalu, sebagai bukti komitmen LZS demi menangani masalah kemiskinan bandar di Selangor.

Tiga lokasi tersebut ialah di Pangsapuri Nervilla, Kota Kemuning, iaitu pada 25 dan 26 Februari lalu diikuti Pangsapuri Rimba, Padang Jawa pada 3 dan 4 Mac. Manakala PPR Sri Perantau, Pelabuhan Klang pula, operasi akan dijalankan pada 10 dan 11 Mac ini.

Skuad yang melibatkan 12 orang pegawai LZS ini diketuai oleh Ketua Sektor Pengurusan Daerah, Basir Hasan Basri. Operasi dijalankan secara ‘turun padang’, iaitu para pegawai LZS akan menjalankan siasatan dari rumah ke rumah dan melakukan bancian berasaskan formula had al-kifayah secara langsung dengan penghuni rumah berkenaan.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada ahli jawatankuasa masjid, pengerusi surau, persatuan penduduk dan ketua blok di kawasan perumahan berkenaan.

Hasil bancian, setakat ini seramai 47 keluarga telah layak didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin. Manakala bagi lokasi terakhir di daerah Klang pula, seramai 500 keluarga akan dibanci. Mereka yang tersenarai sebagai asnaf fakir dan miskin ini akan menerima bantuan Hari Raya dan pelbagai jenis bantuan lain mengikut keperluan.