BELAJAR MENJAHIT UNTUK BERDIKARI

0
389

Bercita-cita untuk membesarkan anak sehingga menjadi seorang al-hafiz (penghafal al-Quran) terus bersemi jauh di lubuk hatinya. Cita-cita itu juga tumbuh subur seiring dengan usaha untuk membebaskan diri dan keluarganya daripada belenggu kemiskinan.

Baginya, kejayaan perlu dirintis, biar susah tetap juga perlu diraih. Dengan keyakinan itulah, Nuratikah Martha, 38 mengayuh keyakinannya membuka laluan yang lebih cerah dalam relung-relung kehidupannya. Ikutilah catatan Jejak Asnaf kali ini, kisah kecekalan seorang ibu tunggal untuk hidup berdikari.

“Saya berasal dari Kuching, Sarawak. Namun saya sudah menetap di Semenanjung Malaysia sejak tahun 1996 lagi. Sebut fasal kesusahan, saya memang sudah lama merasai keperitan hidup. Sejak belum berpisah dengan suami lagi, saya memang sudah sedia payah. Namun, apa yang penting ialah, saya mahu merubah apa yang susah dan tidak tinggal dalam pasrah.”

Demikianlah Atikah memulakan bait-bait bicaranya. Jelas dia tidak pernah sesal dengan liku-liku tragis yang pernah melanda usia kehidupannya. Biarpun perkahwinannya gagal sejak enam tahun sudah, dia tidak kalut. Mungkin ada hikmah di sebalik semua itu yang perlu dia rebut.

“Selepas berpisah pada tahun 2007, saya cuba mencari pekerjaan. Saya pernah bekerja di syarikat swasta. Namun itu tidak lama. Anak-anak saya seramai tiga orang itu susah untuk ditinggalkan.

“Perancangan Allah selalunya luar biasa. Siapa duga, dalam kesusahan itulah, saya ditakdirkan bertemu dengan sebuah keluarga yang amat pemurah dan penyantun. Merekalah yang bertanggungjawab memberikan biaya dan galakan agar saya belajar menjahit, agar dengan itu saya mampu berdikari.” Jelas Atikah lagi. Ibu tunggal dengan tiga orang anak yang berusia di antara lima hingga 13 tahun ini terus ghairah bercerita.

Menyelak kembali helaian kesusahan zaman silam, Atikah tidak lokek menceritakan, kala itu kesusahan amat mencengkam perasaan.

“Bayangkan, rumah sewa saya sudah enam bulan tidak berbayar. Apa yang lebih menyedihkan, kala usia perkahwinan sudah di hujung dahan, bekas suami saya tidak memberikan apa-apa sebagai bekalan. Dek kerana masalah hutang juga, saya sering menerima kunjungan beberapa pihak yang menagih wang mereka. Rimas saya dibuatnya. Masakan saya mampu membayar, jika hidup pun berala kadar.

“Mujurlah, kala itu juga ada pihak akhbar yang simpati dan mereka memasukkan kisah saya ke dalam media. Lanjutan dari itulah, tidak lama kemudian pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) pun datang berkunjung dan membuat bancian. Saya didapati layak sebagai asnaf zakat dan pihak LZS pun segera menguruskan beberapa keperluan.

“Saya masih ingat, LZS memberikan bantuan segera menjelaskan tunggakan sewa rumah selama enam bulan. LZS juga menyediakan keperluan lain, antaranya bantuan sara hidup dan pendidikan anak-anak. Baharulah saya terasa nikmatnya hidup dengan adanya zakat.” Ujar Atikah selanjutnya.

Menyentuh mengenai pendidikan anak-anaknya, Atikah memang amat menekankan agar mereka tidak terabai. Kala susah, Atikah tetap berusaha memberikan apa yang termampu kepada mereka. Demi melihat masa hadapan anak-anaknya terjamin, Atikah sanggup berpisah dengan anak sulungnya, Muhammad Wafi, yang dititipkan untuk belajar di sebuah sekolah tahfiz sejak usianya tujuh tahun lagi.

“Alhamdulillah, kini anak sulung saya itu sudah pun berusia 13 tahun dan sedang menyambung pelajaran menengahnya di salah sebuah madrasah di Mesir. Beliau ke sana pun atas tajaan pihak-pihak tertentu.” Ujarnya bangga.

LZS melihat, kerajinan dan kesungguhan Atikah ini memang perlu dibantu. Untuk itu, LZS telah menyediakan modal perniagaan demi memastikan beliau tidak tersangkut di pertengahan jalan.

“Hakikatnya saya amat berterima kasih kepada LZS, kerana telah memberikan banyak bantuan kepada saya. Antaranya, dua buah mesin jahit telah dibekalkan di samping banyak lagi bantuan modal ketika saya mula-mula menceburi perniagaan jahitan ini.

“Pokoknya, sejak tahun 2008 hingga kini, sudah lima tahun perniagaan saya bertapak dan LZS sentiasa memantau perkembangan saya. Alhamdulillah, sambutan masyarakat juga nampaknya memberangsangkan. Rasanya, tidak lama lagi saya akan dapat mengecapi kebebasan dan keluar dari kumpulan asnaf.

“Bagi saya, zakat amat berperanan membangunkan kalangan asnaf. Zakat turut membantu merealisasikan impian saya selama ini. Terima kasih saya ucapkan kepada LZS dan semua pembayar zakat. Saya tekad akan terus berusaha, kerana saya tahu, satu masa nanti saya mahu menjadi pembayar zakat. Itulah cita-cita saya dan saya akan berusaha menjadikannya satu kenyataan.” Tegasnya menutup perbicaraan.

Nota: Untuk menempah pakaian, Nuratikah Martha boleh dihubungi di email anum.mekar@yahoo.com atau talian telefon 019-2505041.