MOHD. YATIM: YAKIN REZEKI BERNIAGA

0
208

DIA selesa membina tapak perniagaannya di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor. Hanya dengan sebuah lori kecil berwarna hijau yang pada awalnya diberikan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS), dia menyambung usaha membayarnya secara ansuran bulanan.

Kini, lori itu sudah menjadi miliknya 100 peratus. Dia mahu menukar warnanya. Tetapi, jauh di sudut hatinya, nama LZS tetap terpahat kukuh. Kali ini, mari kita lewati jalan berliku yang pernah diuliti Mohd. Yatim Abd. Ghani, 42 dalam meraih mimpinya menjadi peniaga berjaya.

“Saya berasal dari Kelantan. Isteri saya pula orang Besut, Terengganu. Kami merantau ke Selangor awal 1990-an. Semasa itu, saya pun masih belum berumah tangga. Usia baru 23 tahun. Buat permulaan, selama 10 tahun, iaitu dari 1994 hingga 2004, saya menjadi juruteknik di salah sebuah syarikat milik kerajaan negeri,” Mohd. Yatim memulakan cerita.

Daripada kesungguhan dan gaya penampilannya, nampak dia seorang yang tinggi keyakinan dan penuh ketekunan. Tidak hairanlah, LZS mensasarkan dia antara asnaf yang bakal bergelar usahawan sukses tahun 2012.

“Tahun 2004 saya terpaksa berhenti kerja. Tanpa membuang masa, saya mencuba bakat dengan berniaga. Semasa itu, saya berniaga di Nilai 3. Tetapi, bukan mudah rupanya menjadi seorang peniaga. Rezeki yang datang, sukar diduga. Kala itu, kehidupan saya sekeluarga mulai susah. Boleh saya nisbahkan, kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.”

Demikianlah namanya kehidupan. Orang mungkin melihat ‘luaran’ nampak senang, tetapi kesusahan ‘di dalam’, siapa yang tahu. Hidup dengan menyara empat orang anak bukanlah mudah. Segalanya memerlukan perbelanjaan yang bukanlah murah.

Bukan sekadar itu, kehidupan yang susah juga menjerakan. Anak-anak pernah ke sekolah tanpa sarapan. Yuran sekolah acap kali tertunggak dan sering pula menerima leteran para guru. Di samping itu, kerinduan pada ibu bapa dan kampung halaman terpaksa dipendamkan. Ini kerana, kos untuk pulang ke kampung bagi berziarah sanak saudara, amat mahal sekali rasanya.

“Dahulu, saya hanya tahan telinga dengar pasal yuran tidak berbayar. Jujurnya juga, dahulu saya hanya mampu balik ke kampung setahun sekali ziarah kaum keluarga. Itu pun tunggu hari raya,” katanya lagi penuh makna.

Menurut Mohd. Yatim, apabila mengenangkan kenangan silam dan merasai betapa peritnya menanti kehadiran hari lebaran dalam penuh kesempitan, ia sesuatu yang amat menjerakan.

Kala itu, mereka sekeluarga pernah tidak bertukar persalinan. Begitu juga kala musim persekolahan menggamit datang, terasa amat berat kepala memikirkan tentang segala keperluan.

“Saya terpaksa meminta anak-anak pakai dulu apa yang ada. Kemudian dengan berdikit-dikit saya cuba membeli pakaian sekolah baru buat mereka.” Tambahnya.

Hakikatnya, zakat adalah jambatan kehidupan buat mereka yang memerlukan. Mujurlah LZS mengesani kemelut yang melanda dan datang membawa seberkas bekal buat mereka.

“Saya ingat lagi tahun 2007, dalam keadaan susah itulah, LZS datang memberikan bantuan kepada saya sekeluarga. Kemudiannya, apabila saya dapat tahu yang LZS turut menyediakan bantuan perniagaan, hati saya tambah berbunga-bunga. Saya amat berharap saya mendapatkannya. Ini kerana, saya yakin saya memang boleh berniaga.

“Alhamdulillah, ternyata sungguh benar tekaan saya. Zakat memang benar-benar membawa perubahan dalam kehidupan saya, isteri dan anak-anak. Zakat memberikan saya pelbagai bantuan, daripada bantuan persekolahan anak-anak, membuat persiapan raya, bulanan dan pastinya modal perniagaan.

“Paling mengujakan bila LZS memberikan saya sebuah lori. Ia ibarat ‘kuasa tambahan’ bagi saya merancakkan lagi perniagaan. Saya mampu pergi ke mana-mana untuk berniaga. Jika ada program dan keramaian, sama ada kenduri di rumah orang, majlis sukaneka dan sebagainya, saya sanggup mendatanginya dan menyediakan pelbagai jualan di sana.

“Saya menyediakan pelbagai menu, antaranya nasi dagang, nasi berlauk, mi, mihun, cucur, pisang goreng dan pelbagai juadah gorengan. Bahkan sering juga penganjur majlis menjemput saya menyediakan juadah dan saya hanya mengenakan caj semurah RM7 sekepala mengikut hidangan yang diminta.

“Bukan sekadar itu, saya juga menyertai sebuah kelab kereta dan kami sering mengadakan program bersama. Saya sering diminta menyediakan makanan buat semua peserta. Alhamdulillah, memang bertambahlah rezeki saya,” ujarnya tambah ceria.

Hari ini, di sebalik keceriaan wajah Mohd. Yatim, tiada sesiapa dapat menafikan bahawa beliau memang berbakat berniaga. Memang awalnya dia telah mengharungi pelbagai kepahitan, namun beliau membuktikan untuk berjaya seseorang itu mesti cekal dan tahan dengan ujian. Tidak sesia nampaknya LZS meletakkan harapan kepada beliau, agar berusaha dan menjadi asnaf tauladan.

Bagi tujuan mengadakan majlis keraian dan keramaian di sekitar Sepang, Mohd. Yatim boleh dihubungi di talian 017-6072262 atau email myteam.cosmo@yahoo.com.