BERBUDI KEPADA TANAH DENGAN BANTUAN ZAKAT

0
378

Dari rona wajahnya, tampak kesan jemuran yang membakar. Dia tegar menghamburkan keringatnya demi sebidang tanah. Di situlah, dia dan anak-anak serta isterinya membuktikan kebenaran bicara orang tua-tua, berbudi pada tanah, pasti ada hasilnya. Di sisi lain, Lembaga Zakat Selangor (LZS) sentiasa membantu orang yang mahu maju. Maka pada kali ini, mari kita pugar bersama cerita Abdul Kamal bin Abdullah Sani, 41 dalam meneruskan cita-citanya menjadi pekebun berjaya.

“Asalnya dahulu, saya bekerja sebagai jurujual sebuah syarikat swasta. Namun sekitar tahun 2000, saya jatuh sakit. Penyakitnya pula ‘misteri’. Doktor di hospital ‘angkat tangan’, kerana perubatan moden gagal mengesan apakah jenis penyakit saya. Kala itu, muntah saya berdarah dan berak pun berdarah.” Kamal memulakan kisahnya.

“Saya tidak dapat melaksanakan kerja dengan baik, apatah lagi jurujual memang memerlukan seseorang yang sihat fizikalnya. Akibatnya saya telah diberhentikan kerja. Maka, mulai saat itu demi menyara keluarga, saya telah melakukan pelbagai jenis kerja, seperti mengimpal besi, menjual goreng pisang dan sebagainya.

“Namun, pengalaman yang paling menjerakan saya ialah, apabila pernah ditipu orang. Keringat saya diperah, namun setelah penat bekerja tidak pula diberi upah.” Luah Kamal lagi sambil mengenang kesempitan silam. Memang, kehidupan memang mencabar. Ia menjadi bertambah sukar kala dipermainkan oleh orang yang tidak ada ‘hati perut’ dan menindas orang lain demi survival sendiri.

“Lalu, saya mencari jalan untuk berniaga secara kecil-kecilan. Wang simpanan jangan ditanya, semuanya habis sudah untuk dibuat belanja. Maka, demi melanjutkan sebuah kehidupan, saya memberanikan diri untuk membuat pinjaman dengan along. Niat saya hanya satu, iaitu untuk mendapatkan sedikit modal bagi membuka gerai menjual goreng pisang.” Kamal terus berterus-terang tentang cerita hidup silamnya yang panjang.
Menurut Kamal, kehidupan mereka sekeluarga memang serba kekurangan. Anak-anaknya yang seramai lima orang pernah tidak makan nasi, atau jika disajikan nasi lauknya sekadar telur. Bahkan mereka, gayanya amat betah dengan kesusahan. Masakan tidak betah, jika anak-anaknya pernah makan nasi hanya berlaukkan garam, bahkan gula dan juga kicap.

Bahkan, itu belum diambil kira tentang persiapan apakala sesi persekolahan mula membuka tirainya dan hari raya pula mula menjelma. Bagi Kamal dan isterinya, Norfauzan Abd. Rashid, 32, semuanya mereka sambut dengan amat sederhana. Tidak dapat untuk balik ke kampung kerana tiada belanja adalah perkara biasa. Bahkan, pernah juga tertunggak sewa rumah selama lapan bulan lamanya.
“Semuanya saya sekeluarga lalui dengan tabah.” Ujar Kamal lagi.

Mujurlah, LZS menyedari penderitaan beliau sekeluarga. Usai bancian, lalu mereka pun mula mendapat bantuan zakat pada tahun 2007, iaitu berupa bantuan pendidikan, persiapan menyambut puasa dan raya, bantuan sewa rumah, bantuan makanan dan juga bantuan wang bulanan.
“Bantuan-bantuan ini, sebenarnya amat memberikan keringanan kepada saya. Bayangkan, dahulu untuk belanja persekoalahan sahaja sudah amat memeningkan; namun berkat bantuan zakat, saya mampu tersenyum ceria menyekolahkan anak-anak.

“Apa yang lebih mengembirakan saya, hasrat untuk berdikari dimakbulkan Allah SWT apabila LZS sudi meluluskan bantuan modal sebanyak dua kali kepada saya, iaitu pertamanya untuk menjalankan perniagaan bawang goreng dan keduanya membuka kebun sayur-sayuran.

“Bagi modal yang pertama, LZS memberikan saya sebanyak RM2 ribu. Kemudian, bagi bantuan modal pertanian pula, saya memperolehinya pada Oktoer 2010 dengan keseluruhannya berjumlah RM15 ribu. Bantuan itu berupa mesin pengepam air, baja, pam racun, paip air dan juga anak benih.” Jelas Kamal secara lanjut dan dengan penuh bersungguh-sungguh. Tampak riak kebahagiaan mewarnai wajahnya kala itu.

“Sesungguhnya, amat besar nilai bantuan yang telah diberikan kepada saya. Dengan bantuan itulah, saya kini mampu menjalankan projek pertanian ini, iaitu membuka sebuah kebun sayur seluas kira-kira satu ekar di Bukit Beruntung dengan lebih baik dan teratur. Isteri saya dan anak-anak pun turut sama ringan tulang menolong saya. Bahkan kami telah pun menuai hasil pertama dari kebun ini pada hujung tahun 2010 lalu.

“Sesungguhnya, bagi kami anak-beranak, melihat pokok-pokok sayur yang tumbuh subur, adalah suatu kepuasan yang tidak dapat diukur. Itulah cara kami menebus kembali kesusahan silam dan semuanya berkat zakat yang telah umat Islam tunaikan.” Tuntas Kamal dengan nada penuh kepercayaan, bahawa ada sinar cerah sentiasa menantinya pada masa hadapan, insya-Allah.

Nota: Abdul Kamal Abdullah Sani menjual hasil kebunnya seperti terung dan cili kepada peraih di sekitar Hulu Selangor dan sesiapa yang berminat boleh menghubunginya di talian 016-9196306.