SAYA BERSYUKUR… DENGAN ZAKAT, RUMAH ORANG TUA TIDAK TUTUP

0
590

SHAH ALAM–“Saya sangat bersyukur, di kala saya hampir-hampir menutup rumah orang tua ini, saya dimaklumkan bantuan zakat yang saya mohon diluluskan, dapatlah saya meneruskan perjuangan menjaga orang-orang tua ini,” kata Muji Sulaiman, pengusaha rumah orang tua Al-Ikhlas ketika ditemui di majlis penyampaian bantuan zakat kepada badan kebajikan dan dakwah di sini hari ini.

Muji yang lebih selesa dipanggil Kak Muji bercerita, pada tahun 2008 beliau mendapat berita menyedihkah. Beliau menghadapi kanser payu dara di tahap empat. Berita yang menyayat hati ini, diterima dengan penuh sabar dan penuh rasa syukur. Tidak terdetik dihatinya untuk kecewa dengan dugaan yang diterima. Pegangan beliau terhadap takdir amat tinggi. Di bibirnya tidak lengkang menyebut alhamdulillah.

“Akak reda dengan dugaan yang Allah SWT ini. Walaupun akak dimaklumkan kanser ini di tahap empat tetapi akan redha kerana akak akur Allah maha penyayang dan pengasih.” Alhamdulillah Kak Muji masih mampu bertahan sehingga ke hari ini walaupun beliau telah melalui 30 kali kimoterapi. Inilah yang dikatakan kuasa Allah SWT. Di kala beliau berhadapan dengan proses kimoterapi, Allah SWT memberi kekuatan kepadanya. Beliau tidak mengalami rasa sakit dan lemah badan malahan masih boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

Namun, Allah SWT sentiasa menguji insan yang disayangi-Nya. Beliau dimaklumkan, kanser beliau menyerang kembali. Akhirnya beliau terpaksa akur salah satu payu daranya terpaksa dibuang. Kesan pembedahan ini menyebabkan Kak Muji tidak mempunyai tenaga yang kuat dan dirinya semakin lemah. Kekuatannya untuk mengusahakan rumah orang tua kesayangannya juga teruji. Lebih-lebih lagi wang pengurusan rumah orang tua ini yang tinggi menyebabkan timbul hasrat dihatinya untuk menutup operasi rumah ini.

Tetapi Allah SWT sentiasa membantu. Dengan izin Allah SWT, pada awal tahun lalu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan RM10,000 kepada Kak Muji. Operasi rumah orang tuanya diteruskan dan kini menempatkan seramai 50 orang penghuni. 48 orang daripadanya terlantar dan hanya dua orang yang boleh mennguruskan diri sendiri. Menurut Kak Muji ada 200 orang lagi yang telah didaftarkan sebagai senarai menuggu. Hari ini, Alhamdulillah Kak Muji menerima lagi bantuan zakat berjumlah RM15,000.

Bila penulis bertanya bagaimana semangat Kak Muji menguruskan rumah orang tua ini lebih-lebih lagi beliau adalah ibu tunggal, katanya inilah perjuangannya sejak beliau di kampus lagi, cita-citanya lebih berkobar-kobar apabila beliau menjadi ketua jururawat di Hospital Serdang. Melihat realiti kehidupan di mana orang-orang tua yang terlantar di hospital tiada tempat bergantung dan terpaksa di hantar ke rumah orang tua bukan Islam, hatinya bertambah bersemangat untuk membuka rumah orang tua ini.

Akhirnya, lapan tahun lalu dengan kerjasama Masjid al-Hidayah, Pulau Meranti Puchong, Rumah Orang Tua al-Ikhlas dapat dibuka di masjid ini.  Hari ini, alhamdulillah berkat kesabaran Kak Muji dengan bantuan sembilan orang pekerja rumah orang tua ini masih dapat beroperasi dengan baik. Namun, sampai bilakah ia dapat bertahan? Kepada yang ingin menyalurkan bantuan bolehlah menghubungi Kak Muji di talian 012 2433743 untuk menyalurkan sebarang bantuan. Bersama-samalah kita membantu Kak Muji agar Rumah Orang Tua Al-Ikhlas ini akan bertahan dan menyelamatkan orang tua Islam yang terdampar dan tiada tempat perlindungan.